Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO saman Majlis Daerah Kampar insiden tembak anjing liar
Diterbitkan:  Nov 16, 2021 10:57 PM
Dikemaskini: 2:57 PM

Kumpulan Lawyers for Animal Rights (LAR) memfailkan saman terhadap Majlis Daerah Kampar (MDKpr) berhubung tindakan penguatkuasanya yang menembak empat ekor anjing jalanan sehingga mati baru-baru ini.

LAR berkata, saman itu difailkan mengikut Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015 di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Seksyen itu melarang tindakan membunuh haiwan dengan senjata api kecuali mendapat kebenaran pihak berkuasa veterinar ketika kecemasan atau untuk mengawal penyakit.

"Injunksi juga telah difailkan untuk menyekat majlis daerah daripada mencederakan dan membunuh 24 ekor anjing yang didakwa telah ditangkap, setelah kes ini selesai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan itu mengecam tindakan MDKpr tersebut, serta kurangnya maklumat berkenaan status 24 ekor anjing yang didakwanya ditangkap oleh pihak berkenaan.

Mereka menggesa MDKpr dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar segera memaklumkan status tersebut.

Insiden itu dikatakan berlaku di Taman Kampar Barat pada 2 November lalu, di mana seorang pegawai penguatkuasa menembak anjing jalanan dalam satu operasi menangkap haiwan itu.

Media sebelum ini melaporkan Yang Dipertua MDKpr sebagai berkata, pegawai melepaskan tembakan setelah anjing bertindak agresif.

Menurut laman Malay Mail, Abdul Salim berkata empat ekor anjing jalanan mati dan operasi itu berjaya menangkap 24 ekor yang lain.

Tindakan itu turut dikritik Adun Keranji Chong Zhe Min yang menggesa MDKpr memberitahu jumlah sebenar anjing jalanan yang mati ditembak dalam operasi itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS