Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiga pembahas Umno mungkin dikenakan tindakan
Diterbitkan:  Nov 23, 2006 11:01 AM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Sekurang-kurangnya tiga pembahas dalam Perhimpunan Agung Umno minggu lalu yang berucap keterlaluan menyentuh sensitiviti kaum mungkin dikenakan tindakan, kata Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mungkin ada satu, dua jurucakap yang mungkin terlajak bercakap kerana suasana perhimpunan mendorong mereka mengucapkan sesuatu yang mereka fikir boleh menarik perhatian perwakilan.

"Sekurang-kurangnya tiga ucapan kita dapat kesan boleh disifatkan sebagai keterlaluan," katanya kepada pemberita di ibunegara.

Katanya, pihak pengurusan parti telah mengenalpasti beberapa ucapan yang dianggap esktrim dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk tindakan lanjut.

"Terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan jika ada pembahas yang disifatkan membuat ucapan menyentuh soal perkauman pada perhimpunan agung baru-baru ini," tambahnya.

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, kabinet yang bermesyuarat semalam turut berpendapat terdapat lebih banyak kesan negatif daripada positif dari penyiaran secara langsung perhimpunan agung Umno menerusi televisyen.

Menurutnya, siaran langsung memberi gambaran yang tidak tepat tentang perjalanan perhimpunan agung terutama sekali hasil atau keputusan yang dibuat pada akhir perbahasan itu.

Bagaimanapun katanya ini adalah urusan parti dan terpulang kepada Majlis Tertinggi Umno untuk membuat keputusan muktamad sama ada akan menyiarkan secara langsung atau tidak perhimpunan agung Umno pada masa depan.

"Dalam mesyuarata kabinet telah menjelaskan kepada rakan-rakan dalam Barisan Nasional dan mereka faham. Apa yang penting ucapan penggulungan Perdana Menteri, kerana ia merangkumi pendirian dan dasar rasmi parti.

"Tiada perubahan dari segi komitmen kami dalam Barisan Nasional dan kerjasama antara pelbagai komuniti dalam struktur Barisan Nasional. Kami berpegang kuat dengan komitmen kami dan menghargai sumbangan setiap komuniti terhadap pembangunan negara," katanya.

Reaksi MCA

Sementara itu Bernama melaporkan di Putrajaya, dalam pada Umno masih menimbang kewajaran membenarkan perhimpunan parti itu disiarkan secara langsung, MCA pula berkata siaran langsung itu tidak perlu.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Chan Kong Choy yang ditanya mengenai perkara itu berkata MCA tidak melihat kewajaran berbuat demikian.

"Ia merupakan mesyuarat dalaman parti... kita tidak nampak perlunya disiarkan secara langsung," katanya kepada pemberita di pejabatnya selepas mesyuarat pasca kabinet.

Chan yang juga Menteri Pengangkutan juga mengesahkan bahawa MCA telah menyuarakan pandangan dan pendirian mengenai perkara itu pada mesyuarat kabinet hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada perlunya perhimpunan parti politik disiarkan secara langsung seperti yang dilakukan pada perhimpunan agung Umno minggu lepas.

Beberapa perwakilan Umno menggunakan perkataan dan bahasa sensitif yang dikatakan "menyinggung perasaan" semasa sesi perbahasan, sekali gus wujud gesaan supaya amalan membenarkan perhimpunan dalaman parti disiar secara langsung, dikaji semula.

Pada perhimpunan agung Umno minggu lepas, parti itu buat pertama kalinya membenarkan mesyuarat Pemuda, Wanita, Puteri dan badan utama parti itu disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen satelit Astro.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS