Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PULASAN | Politik bangsa terkejut yang mudah terpesona pada jenaka

PULASAN | Barangkali wajar disaran dan diperteguhkan kepada ramai orang khususnya para peminat siasah bahawa memahami politik di negara ini sangat mencabar.

Anda tidak akan dapat memahami dengan hanya menyelami pemikiran orang seperti Al-Farabi atau Nietzsche, atau Plato, Rousseau, Kant, Plutarch dan yang seumpama dengan mereka.

Menekuni otak pemikir yang sudah ketinggalan zaman itu untuk memahami politik Malaysia - khususnya orang Melayu - adalah kerja sia-sia. Mungkin sama sia-sianya berharap PAS mengakui mereka tersilap.

Tidak dapat dipastikan apakah istilah yang paling tepat untuk menjelaskan politik di negara ini: sama ada terlalu kompleks, atau bahkan iaitu sebaliknya terlalu polos.

Politik di negara ini mungkin bermula, berkembang dan menjadi dewasa sama seperti politik di negara-negara lain. Pada satu ketika ia berada dalam kerangka pemikiran ahli-ahli falsafah yang terkenal.

Sehinggalah datang dekad yang aneh. Ia bermula sejak bertahun-tahun silam sebagai dekad politik terkejut. Ia bukanlah berkembang secara mendadak bahkan sangat perlahan. Lebih perlahan dan berahsia daripada api di dalam sekam.

Misalnya kita dikejutkan dengan peletakan jawatan seorang perdana menteri ketika tidak ramai yang mahu dia berbuat demikian. Hal itu mengejutkan kerana sebelumnya orang memaksa perdana menteri itu berhenti tetapi dia enggan.

Ia bukanlah yang pertama, tetapi kejadian tersebut adalah antara natijah politik terkejut.

Pokok nak tumbang dapat topang

Pelbagai kejadian terkejut lain kemudian berlaku sehinggalah pada 2018 apabila BN tiba-tiba kalah. Kalah mengejutlah, apa lagi. Ia suatu episod yang lebih parah apabila Pakatan Harapan (PH) sendiri terkejut dengan kemenangan mereka.

Kemudian kita pun terkejut apabila PH yang memenangi pilihan raya umum (PRU) dengan bergaya tiba-tiba dijatuhkan pada 2020. Lebih mengejutkan ialah, antara yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan memiliki mandat rakyat itu ialah orang yang terkejut pada 2018.

Kemudian datanglah kejutan-kejutan lain. Menteri Besar Perak dijatuhkan dengan kerjasama parti dalam kerajaan dan pembangkang. Salah satu parti itu sebenarnya sudah ada dalam kerajaan, tetapi mereka menjatuhkan menteri besar yang pernah mereka sokong.

Selepas Ahmad Faizal Azumu disingkirkan dari kerusi menteri besar, dia kemudian menyokong pula tokoh dan parti yang menyebabkan dia terpelanting.

Fiil sebuah parti lain yang bukan main garang pada awal kejatuhan itu tiba-tiba menjadi mandom pula - perlu diakui - tidaklah mengejutkan.

Malam tadi, BN yang sudah kalah pada 2018 tiba-tiba mendapat kembali kuasanya di Melaka. Ia kira-kira sama seperti sebatang pokok yang condong dan menanti masa untuk tumbang tiba-tiba tegak dengan bagak. Terkejut lagi kita.

Memanglah suatu ketika dulu BN seakan-akan sebatang pokok berhantu yang menunggu saat menyembah bumi. Tiba-tiba ada orang dengan takzim menjadi penopang. Ia perbuatan yang sangat berjasa, cuma dia nampak seperti tidak setia.

Terkejut lagi.

Selain itu di sela-sela rasa terkejut berkenaan, politik negara - yang ini masih baru - juga dibentuk oleh seni lawak jenaka, hasut maya (troll) dan lelucon.

Tidak menyedari ada wang berjuta-juta menyelinap memasuki akaun peribadi, misalnya. Atau bagaimana ada badan kebajikan beroperasi dengan lihai sehingga pejabatnya pun sukar dikesan.

Jauh ke tengah laut

Juga ada orang politik yang dengan selamba memberitahu kepada dunia bahawa RM2 juta itu adalah wang koceknya. Ia berlaku ketika begitu ramai anak sekolah yang terpaksa bergantung kepada ihsan orang lain untuk mengisi perutnya pada setiap pagi.

Dan jangan memandang rendah politik lawak itu. Ia ternyata memberi kesan yang luar biasa dan - sudah tentu - mengejutkan. Diyakini antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan bergaya BN di Melaka semalam ialah politik lawak dan hasut maya itulah.

Lihatlah bagaimana ratusan ribu orang terpesona dengan jenaka menebal muka yang dihidangkan sehingga mereka menganggap apa saja selain lelucon itu adalah tidak penting.

Lantaklah ada kes mahkamahkah, ada misteri yang belum terjawabkah, berkendak dalam khemah politik yang songsangkah, semuanya tidak penting. Kerana yang teratas dalam hidup ialah kita perlu ketawa, ketawa dan terus ketawa.

Kuasa wajib diberikan kepada pihak yang mampu menggeletek perasaan lucu kita. Ia semudah itu, atau sebenarnya, serumit itu.

Perikatan Nasional (PN) menyangka mereka mampu mengekang jenaka BN. Ternyata mereka silap. Entah siapa yang jadi penasihat. Strategi PN mahu memenangi Melaka dengan isu wibawa ternyata diterbangkan ribut ke tengah laut.

Cuma tidaklah dapat dipastikan sama ada PN terkejut atau tidak.

Nasib baik juga Idris Haron itu namanya Idris Haron, bukan Mahathir Mohamad. Jika tidak, kita ada satu lagi lelucon teori konspirasi iaitu jatuh bangunnya Umno-BN di Melaka adalah hasil jasa kerja buat Mahathir.

Dan untuk jenaka tambahan, bolehlah baca komen-komen yang ditinggalkan di bawah pulasan ini, yang sesetengahnya dibuat secara terkejut kerana ditulis sebelum membaca keseluruhan kandungannya.

Apakah pengajaran yang boleh diambil dari Melaka? Ada banyak tetapi cukuplah disebutkan beberapa saja untuk kali ini.

Pertama, PN sebenarnya memiliki ramuan yang baik untuk mendapat sokongan. Sungguh. Ini bukan satu lagi jenaka. Malangnya ramuan itu tidak lengkap kerana ia hanya sebahagian saja. Separuh lagi ada pada PH. Tapi itulah, siapa yang mahukan PH, kan?

Kedua, dalam amalan demokrasi yang penuh dengan unsur terkejut dan lucu di negara ini, sangat penting memasuki pilihan raya ketika sesebuah parti memiliki kuasa. Ingat, ini adalah pesanan yang jujur lagi ikhlas.

Ia menjadi lebih mendesak apabila gelanggang politik di negara ini penuh dengan tipu daya, helah, mehnah dan tribulasi yang lucu. Misalnya, kebanyakan kita memikirkan faktor bangsa lebih utama semasa membuat pertimbangan berbanding aspek lain, waima kredibiliti.

Dan definisi "bangsa" itu pula dibingkaikan dengan penuh indah melalui naratif sistematik. Kerana itulah juga PN itu wujud, kan?

Dan kita tidak perlu terkejut jika negara ini memerlukan beberapa generasi lagi untuk melihat keadaan yang ada ini berubah. Sementara itu, kita semua perlu hidup dalam keadaan sentiasa gamang melihat dalamnya gaung bernama zulmat yang ada nun di bawah sana.

Bertabahlah Malaysia.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.

Lihat Komen
ADS