Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tak wajar Anwar dipersalahkan atas kekalahan PH - Hanipa
Diterbitkan:  Nov 22, 2021 9:29 AM
Dikemaskini: 1:29 AM

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berpendapat adalah tidak wajar ketua pembangkang, Anwar Ibrahim dipersalahkan atas kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Menurut Hanipa dia menerima banyak mesej yang memintanya seolah-olah bersetuju untuk menyalahkan Anwar ke atas kekalahan PH khususnya PKR pada PRN tersebut.

"Saya menerima agak lumayan mesej yang semacam meminta saya bersetuju dengan mereka untuk menyalahkan Anwar kerana kekalahan yang agak menyakitkan ke atas PH khususnya ke atas semua calon PKR yang bertanding di PRN Melaka.

"Secara jujur, bagi saya, sesiapa pun berhak mengkritik hatta sepedas mana pun ke atas para pimpinan PH termasuk Anwar akibat kekalahan tersebut.

"Namun, jika anda tanya pendapat saya, adakah Anwar wajar disalahkan dan diminta berundur dari memimpin PH, maaf, saya tidak mampu untuk bersetuju dengan anda, sekurang kurangnya untuk masa kini," katanya dalam catatan di Facebook.

Pada PRN Melaka yang berakhir Sabtu lalu, PH tewas kepada BN yang berjaya meraih majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PKR menerima tamparan paling hebat apabila tewas kesemua kerusi ditandinginya meskipun meletakkan calon paling ramai berbanding sekutunya dalam PH.

PKR bertanding 11 kerusi, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Machap Jaya, Rembia, Kelebang, Paya Rumput, Asahan, Rim, Tanjung Bidara, Sungai Udang, Ayer Molek dan Sungai Rambai.

DAP pula hanya mengekalkan kemenangan di empat daripada lapan kerusi manakala Amanah menang satu daripada dua kerusi yang ditandinginya.

Pengkritik antara lain mendakwa keputusan Anwar mewajarkan tindakan mengambil 'katak politik' daripada Umno dan Bersatu dengan alasan untuk mengembalikan mandat rakyat, sebagai antara punca kekalahan tersebut.

'Keputusan dibuat secara kolektif'

Bagaimanapun menurut Hanipa, keputusan PH dibuat secara kolektif dan tidak wajar Anwar seorang dipersalahkan.

"Ya, dengan hormat, agak "fair" untuk mengatakan bahawa Anwar ada "saham" bagi kekalahan PH dan kesemua calon PKR di Melaka, tapi harus dingat segala keputusan PH bukan dilakukan oleh Anwar seorang sahaja.

"Setahu saya, PH sentiasa dipandu atas keputusan kolektif. Maka menyalahkan hanya seorang individu sahaja sedangkan sebarang keputusan PH bukan bersifat keputusan tunggal sebaliknya, ia adalah keputusan kolektif, bagi saya, maaf cakap, adalah tidak adil (menyalahkan Anwar)," katanya.

Tambah Hanipa, dia tidak tersinggung sekiranya dilabel sebagai terlalu pro-Anwar, sebaliknya hanya mahu bersikap adil.

"Mungkin ada yang akan segera melabel saya terlalu pro-Anwar. Saya tidak tersinggung sedikit pun jika ada yang berperasaan sebegitu. 

"Sejak dahulu, saya sentiasa berusaha untuk mendidik diri saya cuba berlaku adil kepada sesiapa pun hatta sebenci mana pun saya kepada sesiapa pun. Sudah tentu sebagai insan yang lemah pendirian, saya juga tidak sunyi dari kelemahan.

"Saya, secara peribadi, masih merasakan PH masih perlukan khidmat Anwar bersama kepimpinan PH yang sedia ada," katanya.

Lihat Komen
ADS