mk-logo
Berita
Kerajaan perlu semak semula SOP pilihan raya - Anwar

PARLIMEN | Kerajaan digesa mengkaji semula pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan dalam tempoh pilihan raya negeri (PRN) Melaka, yang berakhir Sabtu lalu.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata semakan itu termasuk larangan berkempen secara bersemuka.

Tegasnya, semakan tersebut perlu dibuat bagi membolehkan setiap parti yang bertanding pada PRN Sarawak tidak lama lagi dapat berkempen secara bersemuka dengan pengundi.

“SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Melaka sebelum ini, bagi saya mengikut pengalaman ia banyak mengekang kebebasan pilihan raya termasuk untuk kita beri penerangan dan pencerahan kepada rakyat.

"Jadi, kalau penerangan tak dapat disampaikan maka ada kekangan dan masalah.

“Oleh itu, saya mohon dipertimbangkan semula, ubah peraturan ini supaya sesuai dengan hak demokrasi. Jadi untuk PRN Sarawak perkara ini harus disegerakan,” kata Anwar ketika membahaskan peruntukan Belajawan 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ketika memulakan sesi perbahasannya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan BN atas kemenangan parti lawan itu pada PRN Melaka baru-baru ini.

Turut bangkit menggesa agar SOP pilihan raya disemak semula adalah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Teresa ketika bangkit mencelah berkata SOP pilihan raya sedia ada jelas tidak masuk akal.

“Banyak SOP di PRN Melaka tak masuk akal termasuk larangan kempen pintu ke pintu juga dilarang,” katanya.

Selain itu, Teresa juga meminta kerajaan tidak berat sebelah apabila membenarkan poster memaparkan potret bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dipasang ketika kempen PRN Melaka sedangkan Ahli Parlimen Pagoh itu bukan calon.

Tambahnya, SPR juga perlu melakukan cetakan kertas undi berwarna bagi memudahkan pengundi membuat pilihan.

“Ada pengundi tak tahu logo parti dan ada yang tak nampak dengan jelas perbezaan antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dan ada tersalah pangkah itu menyumbang kekalahan PN dalam PRN Melaka lepas,” katanya.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini