Spekulasi kemungkinan seorang Menteri Kewangan baru akan dilantik tidak lama lagi berakhir apabila Perkhidmatan Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai ahli Dewan Negara atau Senator disambung selama tiga tahun lagi berkuatkuasa 8 Januari depan.

Sebelum ini tersebar spekulasi berkaitan rombakan kabinet, kononnya Perdana menteri akan melantik Menteri Kewangan II yang baru kerana tempoh perkhimatan Nor Mohamed akan berakhir tidak lama lagi.

Spekulasi tersebut juga meramalkan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Mohd Taib yang baru menjadi Senator akan dilantik sebagai menteri kabinet bagi memnggantikan Datuk Aziz Shamsuddin yang dikatakan mahu meletakkan jawatan. Aziz bagaimanapun pada awal minggu ini telah menafikan spekulasi tersebut.

Pejabat Ketua Setiausaha Negara dalam kenyataan akhbar berkata pelantikan semula Nor Mohamed diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putera Jamalullail atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut kenyataan itu yang ditandatangani Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Datuk Mazidah Abdul Majid, upacara mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan Nor Mohamed sebagai ahli Dewan Negara akan diuruskan oleh pihak Dewan Negara.

Nor Mohamed pertama kali dilantik sebagai ahli Dewan Negara pada 9 Jan 2004, serentak dengan pelantikannya sebagai Menteri Kewangan II.

Selain anggota kabinet, beliau juga ialah anggota Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan anggota lembaga Khazanah Berhad.

Menurut laporan Bernama, Nor Mohamed memainkan peranan penting dalam merangka dan melaksanakan langkah-langkah kawalan kewangan berpilih yang dilaksanakan pada Sept 1998.

Nor Mohamed yang memiliki ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) Universiti Malaya dan Sarjana Pengurusan Perniagaan Catholic University of Leuven, Belgium, memulakan kerjayanya di Bank Negara antara 1968 dan 1994.

Penasihat ekonomi

Selepas beberapa ketika berkhidmat dengan sektor swasta, beliau menyertai semula Bank Negara antara September 1998 dan Mei 2000, sebelum dilantik sebagai Penasihat Khas Ekonomi kepada Perdana Menteri antara Mei 2000 dan Januari 2004.

Sewaktu di Bank Negara, beliau bertanggungjawab melaksana beberapa projek besar, termasuk perbankan Islam di Malaysia, sistem pajak gadai Islam (Ar-Rahnu), penubuhan mekanisme bayaran dua hala antara Bank Negara dan bank-bank pusat negara Selatan-Selatan, penubuhan Suruhanjaya Sekuriti, Cagamas Berhad dan Rating Agency Malaysia Berhad.

Sewaktu menjadi penasihat khas ekonomi kepada Perdana Menteri, beliau turut memainkan peranan utama dalam beberapa penyusunan semula badan korporat termasuk UEM, MRCB, MAS, Tabung Haji, Johor Corp., KUB dan syarikat transit aliran ringan PUTRA dan STAR.

Beliau juga bertanggungjawab dalam penubuhan Skim PROSPER yang bertujuan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor peruncitan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai anggota lembaga Suruhanjaya Sekuriti, Cagamas Berhad, MAS, Tabung Pencen Kerajaan, Tabung Amanah Warisan Johor dan Pengurusan Pelaburan ASN Berhad.

Nor Mohamed juga ialah anggota pengasas Institut Kemahaman Islam Malaysia (IKIM).