Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Tangga Batu mahu KM beri penduduk tanah wakaf
Diterbitkan:  Nov 25, 2021 11:13 AM
Dikemaskini: 4:05 AM

Umno bahagian Tangga Batu memohon kerajaan negeri Melaka mempertimbang semula pemberian tanah wakaf kepada penduduk Kampung Batang Tiga, Klebang yang kebanyakan ahli keluarga mereka telah tinggal di situ sejak 100 tahun lepas.

Ketua Umno bahagian Tangga Batu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata permohonan bagi penduduk kampung berkenaan mendapatkan tanah telah dibuat sejak 10 bulan lepas namun keputusan permohonan itu yang ditolak, hanya diketahui tiga hari lepas.

Beliau berkata tanah milik kerajaan negeri seluas satu hektar yang diduduki 15 keluarga melibatkan 59 penduduk itu termasuk tanah perkuburan, kini telah diserahkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk dijadikan tanah wakaf.

"Umno bahagian Tangga Batu berasa kesal kerana permohonan 15 keluarga di Kampung Batang Tiga untuk mendapatkan tanah tersebut telah ditolak sedangkan ada ahli keluarga mereka yang telah menetap di situ sejak 100 tahun lepas.

"Mungkin kerajaan negeri terlepas pandang masalah penduduk di kampung ini dan mungkin ketika MAIM membuat permohonan tanah tersebut, mereka tidak menjelaskan kepada kerajaan negeri bahawa terdapat penduduki yang tinggal di atas tanah itu sejak sekian lama," katanya pada sidang akhbar di Melaka malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batang Tiga Mustafa Mohamed Baboo berkata sebagai wakil penduduk dan anak jati kampung berkenaan, beliau berharap masalah dihadapi mereka dapat diselesaikan segera agar dapat memberi kelegaan kepada penduduk.

"Saya adalah generasi ketiga yang telah menetap di kampung ini dan kami rasa kecewa bila permohonan kami ditolak namun percaya dengan kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk menyelesaikan masalah ini.

"Pada dua tahun lepas, penduduk telah diberikan notis untuk keluar dari tanah wakaf ini dalam tempoh sebulan sehingga ada antara mereka yang dimasukkan ke hospital akibat terkejut dan sedih kerana risau memikirkan nasib dan masa hadapan mereka," katanya.

Beliau berkata kebanyakan penduduk di kampung berkenaan terdiri daripada warga emas serta bukan golongan senang.

Warga emas, Alimah Dolah, 75, yang telah menetap di kampung tersebut sejak berusia tujuh tahun berkata beliau dan lima ahli keluarganya berharap dapat terus tinggal kampung itu kerana tiada rumah atau tempat lain untuk berpindah.

"Kampung ini, arwah bapa nenek yang tinggal dahulu sejak kecil dan kami tahu status tanah ini adalah tanah wakaf tetapi kalau boleh, kami berharap diberi tanah ini agar berasa lebih terjamin pada masa hadapan untuk anak dan cucu kami, tidak dihalau mana-mana pihak," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS