Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Produk roti Gardenia naik 10 hingga 45 sen
Diterbitkan:  Nov 25, 2021 1:43 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Pengguna di Semenanjung Malaysia terpaksa membayar tambahan sekitar 10 hingga 45 sen untuk produk berasaskan roti keluran Gardenia mulai 1 Disember ini.

Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata syarikat itu terjejas teruk oleh kenaikan kos akibat penularan wabak Covid-19.

“Gardenia KL juga terjejas dengan cabaran ini dan telah berusaha sedaya upaya untuk menyerap kenaikan harga bahan mentah.

“Namun, peningkatan besar dalam pembuatan, dan kos bahan, yang di luar kawalan kami, telah meletakkan Gardenia KL dalam kedudukan sukar tanpa alternatif kecuali melaksanakan semakan harga ke atas produk Gardenia berkuat kuasa 1 Disember 2021,” kata syarikat itu.

Menurut Gardenia, antara lain, harga tepung, gandum, lelemak, serbuk koko, susu dan pembungkusan telah meningkat.

Menurut senarai semakan harga yang dilaporkan dihantar kepada peruncit, harga roti Classic Original Gardenia akan naik 30 sen kepada RM2.80, manakala roti Jumbo berharga RM4, iaitu peningkatan 45 sen. Roti bajet Bonanza Big Value akan naik 35 sen menjadi RM3.10.

Roti bijirin gandum penuh Gardenia pula akan dijual dengan kenaikan 30 sen, manakala roti Bran & WheatGerm pula akan menyaksikan kenaikan 40 sen.

Sementara itu, senarai roti Delicia dan Toast-em, yang merangkumi roti Butterscotch dan Choco Raisin, pula akan dijual pada harga RM4.00 iaitu lebih 30 sen berbanding sekarang.

Roti sambal bilis syarikat pula akan berharga RM1.30 mulai bulan depan manakala roti krim Quick Bites naik 10 sen menjadi RM1.00.

Gardenia Bakeries (KL) mengucapkan terima kasih kepada pelanggannya atas sokongan mereka dan menegaskan bahawa kenaikan harga adalah pilihan terakhir selepas ia mengambil langkah lain untuk memaksimumkan kecekapan operasi.

Gardenia Bakeries (KL) hanya menjual produk di Semenanjung Malaysia.

Bagi pasaran di Sabah dan Sarawak, ia di bawah entiti berasingan, Gardenia Bakeries (East Malaysia) Sdn Bhd - yang kini di bawah Kim Teck Cheong Consolidated Bhd.

Lihat Komen
ADS