Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keuntungan bersih Q3 2021 Maybank susut kepada RM1.68 bilion
Diterbitkan:  Nov 25, 2021 5:37 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) susut kepada RM1.68 bilion pada suku ketiga (Q3) berakhir 30 Sept, 2021, daripada RM1.95 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas susulan operasi perniagaan yang lemah.

Hasil turun kepada RM11.15 bilion daripada RM13.76 bilion pada suku yang sama pada 2020, kata bank terbesar dari segi aset itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Keuntungan sebelum cukai dan zakat perkhidmatan kewangan komuniti kumpulan itu turun 34.2 peratus kepada RM754.5 juta daripada RM1.15 bilion susulan elaun bersih tinggi bagi kerugian rosot nilai ke atas pinjaman, pendahuluan, pembiayaan dan hutang lain sebanyak RM394.9 juta, perbelanjaan overhed tinggi sebanyak RM74.9 juta dan pendapatan operasi rendah sebanyak RM33.4 juta.

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai dan zakat perbankan pelaburannya susut 58.1 peratus kepada RM72.1 juta daripada RM172.0 juta susulan pendapatan operasi lain yang lebih rendah sebanyak RM110.1 juta, elaun bersih bagi kerugian rosot nilai ke atas pinjaman, pendahuluan, pembiayaan dan hutang lain sebanyak RM6 juta daripada writeback (mengurangkan baki kredit) bersih sebanyak RM1.4 juta dan pendapatan faedah bersih rendah sebanyak RM4.8 juta.

Bagi keuntungan sebelum cukai dan zakat bahagian insurans dan takaful, Maybank berkata ia berkurangan sebanyak 4.7 peratus kepada RM219.3 juta daripada RM230.1 juta disebabkan terutamanya premium insurans diperoleh bersih yang rendah sebanyak RM1 bilion, pendapatan operasi lain yang rendah sebanyak RM364.7 juta dan perbelanjaan overhed tinggi sebanyak RM19.9 juta.

Penurunan itu, bagaimanapun, dikurangkan oleh manfaat insurans bersih dan tuntutan ditanggung yang rendah, fi bersih dan perbelanjaan komisen rendah, perubahan dalam liabiliti perbelanjaan dan cukai dana hayat dan takaful sebanyak RM1.32 bilion dan pendapatan faedah bersih tinggi sebanyak RM46.7 juta, antara lainnya.

Pada masa depan, berdasarkan kepada kadar vaksinasi yang tinggi dan pembukaan semula ekonomi, pertumbuhan dijangka pulih menuju ke tahun 2022.

"Memanfaatkan asas modal dan mudah tunai Maybank yang kukuh, kumpulan akan memastikan pelanggan yang terkesan akan mempunyai akses kepada bantuan kewangan dan sokongan yang mereka perlukan dalam fasa pemulihan ini untuk juga memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu.

"Sementara itu, kumpukan juga akan terus memberi keutamaan kepada dana kos rendah dan peluang pertumbuhan yang disasarkan dalam pasaran tempatan kita, di samping terus proaktif dalam libat urus kami dengan pelanggan bagi menangani kebimbangan kualiti aset,” katanya.

Pemberi pinjaman terbesar itu juga menyasar peluang pendapatan berasaskan fi menerusi segmen pengurusan harta, pasaran global, perbankan pelaburan, pengurusan aset dan insurans.

"Memanfaatkan francais domestik kami dan kedudukan penerajuan kami dalam perbankan digital, kami akan menumpukan kepada mempercepat pelancaran produk di platform digital kami bagi meningkatkan penembusan pasaran dan menjana hasil berasaskan fi.

"Selain itu, kumpulan akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan di samping mengekalkan pengurusan kos berdisiplin bagi mengimbangkan tekanan hasil kasar,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS