Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Royalti petroleum: Kelantan hanya terima wang ihsan, kata Zafrul
Diterbitkan:  Nov 25, 2021 5:42 PM
Dikemaskini: Nov 26, 2021 1:08 AM

Tiada bayaran tunai dibuat oleh Petronas, khususnya bagi pengeluaran petroleum kepada mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia, termasuk Kelantan, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, Tengku Zafrul berkata, ini disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka kerajaan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.

“Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan bagi melaksanakan projek dan program untuk manfaat rakyat di negeri tersebut," katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas dari PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang meminta kerajaan menyatakan status terkini tuntutan bayaran royalti tunai oleh kerajaan negeri Kelantan.

Isu royalti minyak melibatkan negeri Kelantan masih lagi diperkatakan dan meskipun PAS kini sebahagian daripada kerajaan, isu tersebut masih lagi belum menemui jalan penyelesaian tuntas.

Sebelum ini, desakan demi desakan mendorong kerajaan persekutuan menyalurkan bantuan wang ihsan kepada kerajaan Kelantan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bermula 2014, dianggarkan lebih RM200 juta.

Bagaimanapun, semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), wang ihsan disalurkan terus kepada akaun kerajaan Kelantan.

Pada tahun 2020, kerajaan negeri itu memperolehi lebih RM400 juta wang hasil royalti di kawasan tuntutan itu.

Lihat Komen
ADS