Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ATA IMS sahkan penamatan kontrak daripada Dyson
Diterbitkan:  Nov 25, 2021 5:42 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), ATA IMS Bhd mengesahkan laporan berita bahawa Dyson Operations Pte Ltd dan Dyson Manufacturing Sdn Bhd telah menamatkan tiga kontrak dengan anak syarikat milik penuhnya, ATA Industrial (M) Sdn Bhd (ATAIM), berkuat kuasa 1 Jun, 2022.

“Dyson Operations dan Dyson Manufacturing telah mengeluarkan notis penamatan tanpa sebab mengikut terma kontrak masing-masing,” menurut ATA IMS dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat itu berkata Lembaga Pengarahnya sedang menerima nasihat mengenai kesahihan notis penamatan itu.

Sehingga tarikh penamatan itu, katanya Dyson dan ATA IMS akan terus melaksanakan kewajipan masing-masing sepenuhnya di bawah kontrak.

“Bagi ATA, ini termasuk terus mengeluarkan dan membekalkan produk, komponen dan perkakasan serta terus memberikan perkhidmatan, untuk dan bagi pihak Dyson dan sekutunya, mengikut terma kontrak,” katanya.

Tiga kontrak itu ialah perjanjian pembuatan kontrak bertarikh 15 Okt, 2020 antara Dyson Operations dan ATAIM, perjanjian untuk pembekalan barangan dan perkhidmatan bertarikh 1 Mac, 2013 antara Dyson Manufacturing dan ATAIM serta perjanjian rangka kerja untuk pembekalan barangan (perkakasan) bertarikh 17 Jun, 2009 antara Dyson Manufacturing dan ATAIM.

ATA IMS berkata Lembaga Pengarahnya turut mengambil perhatian mengenai artikel berita di Reuters pada 25 Nov, 2021, apabila rujukan telah dibuat kepada penamatan kontrak oleh Dyson Operation dan Dyson Manufacturing serta kepada audit amalan buruh syarikat.

Penyedia EMS itu mengesahkan bahawa sebelum menerima notis penamatan, pihaknya telah berbincang dengan Dyson berhubung dapatan audit.

“Syarikat telah mengambil langkah segera selepas dimaklumkan mengenai ringkasan audit untuk berbincang dengan Dyson dan mendapatkan penasihat profesional untuk membantu syarikat menyemak, mewajarkan dan mengesahkan dapatan audit.

“Walaupun menerima notis penamatan, syarikat akan terus meneliti dapatan audit,” menurut ATA IMS.

Sahamnya merosot 35 sen atau 29.92 peratus kepada 82 sen dengan 72.40 juta saham diniagakan semasa mengakhiri sesi pagi ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS