Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Lagi mahal dari daging' - Pekebun sayur rayu kerajaan bantu

Pekebun dan peniaga sayuran menggesa kerajaan untuk menangani isu kekurangan tenaga kerja serta isu lain yang membawa kepada peningkatan harga sayuran pada masa ini.

Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands Chay Ee Mong berkata, masalah kekurangan tenaga kerja yang dihadapi 2,000 pekebun di sana kian memburuk apabila mereka gagal mengekalkan tenaga kerja sedia ada, walau setelah menaikkan gaji bulanan sebanyak 30 peratus, kepada RM1,800.

Dia berkata ini kerana sektor perladangan dan pembinaan berdepan masalah kurang tenaga kerja yang sama sejak kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing pada 2018.

Ia ditambah lagi dengan majikan di sektor lain menawarkan gaji lebih tinggi kepada pekerja asing ketika pembukaan semula ekonomi selepas perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Pekerja asing ditawar sehingga RM3,000 sebulan dan pekebun tidak mampu untuk mengikutnya. Sektor perladangan mampu berbuat demikian kerana harga masa depan minyak sawit mentah naik kepada RM5,000 setan.

"Bagi kami pula, kami telah memohon untuk dapatkan tenaga kerja dan jelaskan semua bayaran yang diperlukan, tapi kami hilang pekerja kerana gaji yang lebih tinggi," katanya kepada Malaysiakini.

"Kami perlukan sehingga empat pekerja bagi setiap ekar kebun. Tanpa tenaga kerja, kami terpaksa kurangkan pengeluaran," katanya, sambil berkata isu tersebut perlu diselesaikan kerana tidak adil buat pekebun yang tidak dapat bersaing dengan pemain yang mempunyai kemampuan kewangan yang lebih kuat dalam sektor pembinaan dan perladangan.

'Cuaca buruk, baja mahal'

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini membangkitkan kebimbangan selepas mendapati harga sejumlah sayuran meningkat sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Menurut CAP, harga sawi pendek meningkat daripada RM3 kepada RM9 per kg, harga brokoli naik daripada RM8 kepada RM20 per kg, dan harga kubis bunga naik daripada RM7 kepada RM16 per kg.

Justeru, ia menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menangani perkara itu.

Chai berkata, satu lagi faktor di sebalik kenaikan harga adalah cuaca yang buruk, dengan pekebun terpaksa berdepan dengan hujan lebat, cuaca mendung, suhu rendah dan tanah runtuh di Cameron Highlands.

"Cuaca buruk mengurangkan lagi kapasiti pengeluaran kami dan menjejaskan kualitinya. Cuaca tidak menentu adalah fenomena seluruh dunia yang telah melanda negara pengeluar sayuran di rantau ini.

"Kami juga terkesan dengan peningkatan kos material plastik kerana kami sangat bergantung kepadanya untuk melindungi sayuran daripada hujan lebat dan ia perlu ditukar setiap tiga atau empat tahun. Harganya naik sehingga RM200,000 untuk setiap ekar kebun berbanding RM130,000 sebelum ini," katanya.

Menambah lagi masalah, kata Chai, adalah kenaikan harga racun perosak dan baja import.

Kenaikan itu selepas langkah pencatuan elektrik di Cina, yang memberi kesan kepada industri pembuatan di sana.

"Misalnya baja urea yang kami import dari China - harga urea global naik daripara RM1,000 kepada RM,4,000, dan kami terus berdepan kekurangan bekalan baja yang berlaku di seluruh dunia.

"Kami diberitahu harga baja akan terus naik tahun depan," katanya lagi.

Harga tinggi dijangka sehingga Tahun Baru Cina

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt menyalahkan keadaan cuaca buruk sejak November untuk kenaikan harga sayuran. Dia menjangka harga akan kekal tinggi sehingga musim perayaan Tahun Baru Cina awal tahun depan.

"Walaupun pada masa lalu musim tengkujuh akhir tahun memang akan memberi kesan terhadap pengeluaran sayuran, cuaca mutakhir ini lebih buruk dengan mendung dan hujan lebat setiap hari.

"Pengeluaran sayur berkuran sebanyak 30 hingga 50 peratus dengan fotosintesis yang baik tidak berlaku, dan menyebabkan kenaikan harga terutamanya sayuran hijau.

"Ketika musim hujan, lebih banyak sayuran yang rosak dibuang. Ini akan dianggap sebagai kos oleh peniaga," katanya lagi.

Namun, Wong berkata tidak semua sayuran berdepan kenaikan harga, dengan berkata harga borong untuk kacang, labu dan tomato kekal sama atau telah berkurang.

Bagaimanapun, dia mengakui yang harga ayuran import kini lebih mahal susulan penurunan pengeluaran di negara seperti China, Thailand dan Vietnam.

"Negara-negara ini sama ada terjejas akibat cuaca sejuk atau banjir," katanya lagi.

'Daging lagi murah'

Seorang penjual sayuran yang hanya ingin dikenali sebagai Tan berkata, kos pengeluaran hiliran yang lebih tinggi memaksa penjual menjual lebih separuh sayuran mereka di pasar di Lembah Klang.

"Mengapa saya kata begitu? Penjual biasanya dapatkan bekalan sayuran di pasar borong, berbeza dengan pasar raya yang mendapatkannya terus dari kebun," kata Tan yang memiliki gerai di pasar Jalan Klang Lama.

"Misalnya sawi pendek, harga naik sehingga RM8 sekilogram berbanding Oktober. Harga kubis bunga import naik sehingga RM13 hingga RM20, berbanding dengan RM6 sekilogram sebelum ini.

"Malah, harga sayur kekal tinggi ketika wabak Covid-19 atas pelbagai sebab, dan kali ini sebabnya adalah cuaca buruk.

"Ada pelanggan yang faham keadaan yang kami hadapi dan melawak yang 'sekarang lebih mahal untuk beli sayur berbanding beli ikan dan daging'," keluhnya.

Terdahulu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata beberapa pelan tindakan sedang dirangka untuk membantu industri yang berdepan masalah peningkatan kos pengeluaran.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pula mengumumkan peruntukan sebanyak RM262 juta untuk membantu peladang dan petani yang terkesan dengan kenaikan harga racun perosak dan baja.

Ia termasuk RM200 juta untuk pinjaman agromakanan tanpa faedah serta moratorium pembayaran selama enam bulan, serta RM62 juta untuk insentif dan subsidi padi.

Lihat Komen
ADS