Nampaknya isu mengenai monopoli media bahasa Cina masih jauh daripada berakhir. Topik tersebut dijangka semakin panas ekoran satu lagi perkembangan terbaru.

Kumpulan KTS sebuah syarikat terkemuka di Sarawak bakal mengikut jejak langkah jutawan media Tan Sri Tiong Hiew King. Tersebar desas-desus bahawa KTS berminat membeli Nanyang Press Holding dari Tiong dan MCA.

Nanyang Press Holdings juga memiliki dua lagi akhbar terkemuka berbahasa Cina Nanyang Siang Pau dan China Press.

Dipercayai, cadangan KTS untuk menguasai Nanyang telahpun dimaklumkan kepada pemiliknya.

Pengerusi KTS, Lau Swee Nguong akan mengadakan sidang akhbar khas di Kuala Lumpur esok untuk mengumumkan butiran lanjut mengenai rancangan tersebut sama ada tawaran itu dibuat oleh syarikatnya atau olehnya secara peribadinya.

Langkah Tiong menguasai Nanyang tidak disenangi sebahagian besar masyarakat Cina. Mereka bimbang, dengan Nanyang dikuasai Tiong, jutawan media dari Sibu itu kini menguasai monopoli akhbar berbahasa Cina di Malaysia. Beliau kini memiliki Sin Chew Media Corporation Bhd, yang menerbitkan dua akhbar terkemuka Sin Chew Daily dan Guangming Daily.

Awal bulan ini, kira-kira 300 pelajar berkumpul di ibupejabat Sin Chew di Petaling Jaya kerana membantah monopoli Tiong itu.

Ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru itu, pengamal veteran media berbahasa Cina, Kou Yok Liong (kiri) menyambut baik langkah itu sebagai sesuatu yang positif.

"Jika berjaya, ia akan memecahkan monopoli akhbar bahasa Cina. Malah, jika KTS berjaya menguasai saham minoriti MCA sebanyak 20 peratus, ia akan membantu mengimbangi keadaan,walaupun Tiong masih merupakan pemegang saham kedua terbesar dalam Nanyang Press Holdings," katanya.

Kou pernah menjadi pengurus besar Sin Chew Jit Poh, pengarah eksekutif Nanyang Press Holdings serta konsultan media kepada syarikat KTS Media Group. Bagaimanapun, beliau agak ragu-ragu sama ada MCA bersedia menjual sahamnya dalam Nanyang kepada KTS.

Kebebasan akhbar

Pengerusi Perikatan Penulis Media Independen (WAMI), Wong Chin Huat (kanan) turut menyokong cadangan KTS itu atas dua alasan.

"Pertamanya, pihak akhbar tidak lagi dikuasai parti politik seperti MCA. Kedua, akhbar Oriental Daily News , milik KTS bukan pemain dominan dalam arena media Cina kerana mereka hanya menguasai 40 peratus pembaca. Jadi pemilikan ( Nanyang ) tidak akan menjejaskan kebebasan akhbar," katanya.

Kumpulan KTS kini memiliki empat akhbar Oriental Daily , See Hua Daily , Utusan Borneo dan Borneo Post . Hanya Oriental Daily, yang dilancarkan pada 2003, berpejabat di Semenanjung. Yang lainnya diterbitkan di Sarawak.

KTS ditubuhkan pada 1962 oleh Lau Hui Kang yang meninggal dunia pada umur 83 tahun. Pada Pada masa ini, Oriental Daily News diterajui anak keduanya, Henry Lau.

Pada 17 Oktober, selepas beberapa bulan spekulasi, MCA mengumumkan keputusannya menjual kepada Tiong 21.02 peratus daripada 44.4 peratus sahamnya dalam Nanyang Press Holdings. Dengan penjualan tersebut, pegangan Tiong dalam Nanyang meningkat daripada 23.74 peratus kepada 44.76 peratus.

Dengan tambahan pegangan tersebut, Tiong mengukuhkan dominasinya dengan hampir memonopoli media berbahasa Cina di Malaysia.

Daripada enam akhbar utama berbahasa Cina hanya Oriental Daily dan Kwong Wah Daily yang berpejabat di Pulau Pinang yang tidak dikuasai Tiong.

Nanyang Siang Pau diasaskan oleh mendiang Tan Kah Kee pada 1923 di Singapura. Pada 1993, Nanyang mengambil alih pengurusan akhbar China Press. Berita asal