mk-logo
Berita
Johor cadang pinda umur calon pilihan raya kepada 18 tahun
Diterbitkan:  Nov 28, 2021 4:45 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan diadakan segera bagi meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, berkaitan menurunkan umur calon bagi kerusi DUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada pilihan raya akan datang.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri diminta mengambil tindakan berhubung pelaksanaan umur minimum calon 18 tahun, bagi kerusi DUN selaras dengan pindaan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603].

“Amat wajar bagi maksud mematuhi Perlembagaan Persekutuan, dan untuk keseragaman syarat kelayakan menjadi calon bagi kerusi parlimen dan kerusi DUN, pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 untuk menurunkan umur minimum calon daripada 21 tahun kepada 18 tahun, dilaksanakan.

“Untuk tujuan itu, satu Sidang Khas DUN Johor akan diadakan seberapa segera bagi meminda Fasal 16 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 bagi DUN selaras dengan Pindaan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika ucapan penggulungan Belanjawan Johor 2022 pada hari terakhir Persidangan Keempat DUN Johor ke-14, di Iskandar Puteri hari ini.

Beliau berkata justeru itu, sekiranya terdapat sesuatu pilihan raya melibatkan kerusi Dewan Rakyat, maka calon yang telah mencapai umur kelayakan 18 tahun boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan.

Bagaimanapun, Hasni (BN-Benut) berkata sekiranya sesuatu pilihan raya itu melibatkan kerusi DUN, maka calon yang berumur 18 tahun masih belum boleh bertanding, sehingga pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri dipinda dan dikuatkuasakan.

“Jika Kerajaan Persekutuan meminda peruntukan-peruntukan perlu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan pindaan tersebut dipatuhi,” katanya.

Pada 24 Nov lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing, bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil.

Ismail Sabri berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) ke-137 pada 23 Nov.

- Bernama

Lihat Komen
ADS