Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Li: Jangan pilih saya pada PRU15
Diterbitkan:  Nov 29, 2021 1:29 AM
Dikemaskini: 1:29 AM

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah percaya kerjaya politiknya akan tamat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Razaleigh mewakili Gua Musang (dan pendahulunya, Ulu Kelantan) di Dewan Rakyat sejak 1974, yang merupakan perkhidmatan berterusan paling lama di Parlimen, kerana Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang yang pertama kali dipilih masing-masing pada 1964 dan 1969, tidak berkhidmat secara berterusan di satu-satu parlimen.

Sebelum itu, Razaleigh, kini 84, berkhidmat sepenggal di DUN Kelantan.

Bagaimanapun, dia memberitahu portal berita FMT bahawa khidmatnya akan berakhir.

“Saya dah banyak kali cakap perkara ini. Dua pilihan raya lalu (PRU13 dan PRU14) saya juga cakap ‘jangan pilih saya’, tetapi saya rasa kali ini (PRU15) ia akan berlaku. Ia bergantung kepada pucuk pimpinan parti.

“Masalah saya ialah jika saya menarik diri, kawasan Parlimen (Gua Musang) mungkin tidak lagi menjadi kerusi selamat. Itu alasan yang diberikan kepada saya sebelum ini, itu sebabnya saya perlu bertanding pada dua PRU lepas," katanya.

Lebih dikenali sebagai Ku Li, malah digelar "Bapa Pembangunan Ekonomi Malaysia", dia telah memainkan peranan penting sebagai menteri kewangan dari 1976 hingga 1984 apabila Malaysia mengalami ledakan ekonomi, serta diketengahkan dengan ketara dalam era perintis Petronas dan Bank Bumiputera.

Dua kali pada 1980-an, dia hampir menggulingkan Mahathir - sekali dalam saingan jawatan presiden Umno dan kedua, sebagai ketua parti Semangat 46 yang menerajui gabungan Gagasan Rakyat.

Baru-baru ini pada tahun ini, namanya dikaitkan sebagai calon perdana menteri tetapi dia turut mendapat kecaman kerana pembangunan kawasan pilihan rayanya yang lemah, khususnya berkaitan kebajikan Orang Asli di Gua Musang.

Razaleigh berkata keputusan tidak bertanding itu masih terletak di tangan pucuk pimpinan parti dan sekiranya dia akhirnya berundur, ramai dalam parti akan berebut untuk bertanding di kerusinya, yang dianggap kerusi selamat.

“Sebenarnya, tiada kerusi yang selamat, melainkan anda mempunyai orang berpengaruh, strategi boleh diterima dan dilaksanakan, serta anda mempunyai sokongan kukuh untuk meningkatkan undi anda pada PRU.

“Tanpa itu dan perpaduan, saya rasa anda tidak boleh kata kawasan anda selamat,” tambahnya.

Dikenali dengan asal usul diraja, Ku Li ialah cicit Sultan Muhammad III di Kelantan dan datuk saudara kepada Sultan Muhammad V.

Lihat Komen
ADS