Paling Popular
Terkini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
'Pengurusan skim smart sewa Selangor ada kelemahan'

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Aktiviti Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Selangor 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Negeri Selangor hari ini mendapati beberapa kelemahan dikenal pasti dalam aspek pengurusan Skim Smart Sewa di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid berkata antara kelemahan tersebut seperti kontrak tidak ditandatangan, surat tawaran lewat dikeluarkan kepada penyewa, tiada surat pembaharuan sewaan antara Hartanah Selangor serta Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) dan penyewa serta pengurusan sewa yang kurang cekap.

"Secara keseluruhannya skim tersebut dapat membantu rakyat Selangor yang masih tidak memiliki kediaman dan gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman yang disediakan oleh kerajaan negeri dengan kadar sewa yang berpatutan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun katanya pembelian unit kediaman skim itu tidak mencapai sasaran yang ditetapkan dan penilaian keberhasilan belum pernah disediakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor serta PHSSB bagi mengukur keberkesanan program tersebut.

Mengenai objektif pengurusan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Majlis Perbandaran Klang untuk mengukuhkan tahap kebersihan dan keselesaan penduduk, dia berkata ia masih belum dapat dicapai sepenuhnya.

"Ini berdasarkan bilangan Notis Tindakan Pembetulan yang dikeluarkan bagi pembersihan awam melebihi 10,000 bagi tempoh yang diaudit. Kaedah pemantauan yang dijalankan adalah secara rawak dan tidak menyeluruh serta tidak memberi gambaran sebenar," katanya.

Tambah Nik Azman, sebahagian besar responden pula memberi penilaian tahap sederhana sahaja bagi aspek prestasi kerja KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB), keselesaan dan kebersihan.

Selain itu katanya terdapat aspek yang perlu ditambah baik, iaitu penilaian prestasi KDEB serta penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pembuangan sampah secara haram.

Bagi pengurusan syarikat kerajaan negeri, Nik Azman berkata objektif penubuhan Worldwide Holdings Bhd (WHB) secara keseluruhannya telah tercapai dalam projek pembangunan kediaman untuk rakyat Selangor dan perkhidmatan pengurusan alam sekitar.

"Bagaimanapun, projek Amber dan Azalea yang dipilih sebagai sampel audit mengalami kelewatan penyiapan, iaitu melebihi tempoh munasabah penyiapan projek mengikut standard Jabatan Kerja Raya," katanya.

Menurut Nik Azman, Projek Amber hanya dapat disiapkan dalam masa 48 bulan manakala projek Azalea siap dalam masa 44 bulan dari tempoh yang ditetapkan dalam kontrak dan wujud kelemahan dalam pengurusan penjualan projek kediaman seperti pemberian diskaun yang tidak teratur dan kadar harga jualan rumah yang melebihi nilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

"Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Secara Sanitari juga kurang cekap dalam menguruskan perjanjian pengoperasian iaitu kontrak pelupusan sisa pepejal lewat atau tidak ditandatangani dengan pihak berkuasa tempatan terlibat," katanya.

Selain itu, dia berkata bagi aspek tadbir urus syarikat itu adalah baik namun perlu penambahbaikan dalam aspek pengerusi, lembaga pengarah, setiausaha syarikat, prosedur operasi standard, jawatankuasa audit, jawatankuasa pencalonan dan jawatankuasa imbuhan.

"Kedudukan kewangan WHB masih kukuh dengan mencatatkan trend lebihan keuntungan sebelum cukai untuk tiga tahun berturut-turut dan aliran tunai yang positif," katanya.

Katanya lagi, semua ketua agensi yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara yang dilaporkan dalam LKAN untuk tujuan pengesahan dan mesyuarat penutup juga telah diadakan bagi tujuan membincangkan penemuan audit dan mendapatkan penjelasan serta maklum balas terhadap isu-isu berbangkit.

Tambahnya bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil oleh ketua agensi berkenaan, Jabatan Audit Negara juga telah mengemukakan 11 syor kepada agensi berkenaan untuk memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

-Bernama

Lihat Komen