Ziarah kediaman Ashaari bukan satu kesalahan, kata Jains
Kegiatan ziarah ke kediaman bekas pemimpin kumpulan al-Arqam yang diharamkan pada 1994, Ashaari Muhammad bukanlah satu kesalahan, kata Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (Jains).
Bagaimanapun, Pemangku Pengarah Jains, Selamat Paigo berkata, tindakan akan diambil sekiranya ada unsur aktiviti penyebaran di situ.
Beliau berkata, Jains dengan kerjasama polis sentiasa memantau kediaman Ashaari Ashaari Muhammad di Nilai Springs di Seremban sejak Jun tahun lalu.
Pemantauan itu dibuat, katanya, selepas mereka menerima laporan mengenai kegiatan ziarah yang berlaku di rumah berkenaan.
"Tindakan akan diambil sekiranya ada unsur aktiviti penyebaran di situ. Ziarah bukan satu kesalahan. Kami sudah memantau dan setakat ini pihak kami belum mengesan ada aktiviti sedemikian," katanya kepada pemberita di Seremban semalam.
Serbuan di S'gor
Beliau diminta mengulas tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan 100 orang termasuk kanak-kanak ketika mendengar ceramah oleh seorang pemimpin kanan sebuah pertubuhan yang didakwa cuba menghidupkan semula kumpulan Al-Arqam.
Penahanan itu dilakukan di sebuah premis kedai di Seksyen 13 Shah Alam dan dipercayai perkumpulan itu diadakan oleh kumpulan Rufaqa' diketuai seorang pemimpin kanannya.
Rufaqa' ialah pertubuhan yang diketuai oleh Ashaari.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor Datuk Abdul Rahman Palil dipetik sebagai berkata Rufaqa' disyaki mengamalkan ajaran yang menyeleweng kerana pengikutnya masih mengamalkan zikir, sama seperti ajaran Al-Arqam.
Selamat berkata pihaknya pernah cuba berjumpa Ashaari ketika kediamannya dikunjungi ramai orang baru-baru ini kerana dikatakan Ashaari sedang sakit, namun dihalang pengikutnya.