Paling Popular
Terkini
story images
story images

PARLIMEN l Ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat hari ini mencabar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi supaya meletakkan jawatan jika dia gagal menyelesaikan kenaikan harga barang menjelang 9 Disember.

Ini susulan kenyataan Alexander yang pada 25 November berkata, bahawa isu itu akan diselesaikan dalam beberapa minggu.

“Menteri cakap dalam satu dua minggu akan selesai. Sekiranya pada 9 Disember tak selesai, adakah menteri akan mengambil tanggungjawab?” soal Lim Guan Eng (DAP - Bagan).

Bagaimanapun, Alexander menjelaskan bahawa isu itu adalah rumit dan terdapat kemungkinan ia tidak dapat diselesaikan pada masa yang dinyatakan berkenaan. Katanya, isu itu bukan sekadar terletak di tangan kementeriannya.

Ini mendorong Lim untuk terus mendesak Alexander sehingga dia melenting.

“Kalau nak berjanji letak jawatan, PD (Anwar Ibrahim - PH Port Dickson) pun pernah kata dulu, hari ini kita menang, besok minyak turun, pun tak turun.

Iskandar Puteri (PH - Lim Kit Siang), pun cakap kalau Anwar tak jadi PM, sy akan undur dia kata. Jadi janji apa?

“Janji apa? Kalau kita nak berpolitik, saya tak nak ….,” katanya sambil tidak sempat menghabiskan ayatnya kerana diganggu.

Namun Alexander berkata dia menerima kritikan dan cadangan daripada Lim.Menteri itu

juga sependapat dengan Lim bahawa kenaikan harga barang tidak seharusnya diletakkan di bahu peniaga semata-mata kerana terdapat isu logistik yang terlibat.

“Kita tak nak buat teragak-agak, tergesa-gesa ataupun terlalu drastik untuk mengenakan sekatan harga maksimum kerana kalau kita tak kawal harga, kalau (harga) ayam di ladang, kos operasi kita tak bantu, maka peniaga terpaksa jual mahal.

“(Ini) kerana mereka membeli daripada pemborong, pemborong beli daripada penternak mahal.

“Sebab itu kami tak sebarang, seperti mana disarankan, digesa dan didesak dalam media dan sebagainya, mengapa tidak buat penguatkuasaan, sekatan harga? Kita tak buat sebab kita tahu keluhan daripada peniaga-peniaga kecil ini,” katanya.

Alexander berkata kementeriannya kini membuat libat urus dengan kementerian lain dan juga peniaga kerana masalah itu bukan eksklusif dalam bidang kuasanya sahaja dan melibatkan rantaian bekalan, perladangan dan agensi yang berada di luar kendaliannya.

Bagaimanapun, Anwar mencadangkan Alexander untuk membawa isu itu pihak lebih tinggi untuk diselesaikan.

“Bawa (ke) kabinet, selesai. Awak boleh selesaikan bersama. Orang (rakyat) dah tunggu lama,” katanya.

Dalam jawapan bertulis kemudian, Alexander berkata isu kenaikan harga tidak terhad kepada Malaysia dan Tabung Kewangan Antarabangsa telah melaporkan bahawa harga makanan telah melonjak sebanyak 30 peratus di seluruh dunia apabila ekonomi dibuka semula selepas penutupan berpanjangan akibat penularan wabak Covid-19.

Alexander berkata kira-kira 2,200 pegawai penguat kuasa telah dikerahkan untuk memastikan kenaikan harga itu benar-benar berpunca daripada isu bekalan dan bukan pencatutan.

Tambahnya, skim kawalan harga juga akan diaktifkan lebih awal untuk musim perayaan ini, menjelang Krismas.

Alexander berkata, kerajaan akan melancarkan jualan Keluarga Malaysia melibatkan barangan keperluan asas di 222 kawasan Parlimen seluruh negara bermula 4 Disember ini.

Ia sebagai antara langkah memastikan pengguna mendapatkan barang keperluan pada harga lebih murah.

Menurutnya, jualan itu dilaksanakan dua kali dalam sebulan dengan barangan keperluan asas akan dipastikan 15 peratus hingga 20 peratus lebih murah.

“Kami telah dapat kerjasama daripada semua agensi terlibat bagi memastikan jualan ini sampai ke sasaran keluarga Malaysia yang terkesan akibat kenaikan harga barang,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS