Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Varian Omicron: Peralihan ke fasa endemik ditangguh seketika
Diterbitkan:  Nov 30, 2021 10:56 AM
Dikemaskini: 10:56 AM

Usaha peralihan ke fasa endemik ditangguh seketika sehingga kerajaan mengetahui lebih lanjut mengenai varian baharu Covid-19, Omicron, yang lebih mudah merebak berbanding Delta.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata setakat ini, kerajaan mengambil maklum varian itu bukan sahaja telah menular di selatan benua Afrika, tetapi juga di beberapa buah negara antaranya, Itali, Denmark, Australia, United Kingdom, Belgium dan Hong Kong.

“Walaupun sehingga hari ini kita tidak dengar kes di negara kita, tetapi tindakan berhati-hati terus dilaksanakan.

“Kita bimbang semua yang telah kita rancangkan sebelum ini, kita telah umumkan kelonggaran SOP (prosedur operasi standard), tujuh asas yang kita harap dapat diumumkan dalam masa terdekat dalam fasa endemik, semua ini mungkin terjejas kalau sekiranya kita tidak dapat pantau secara lebih dekat penularan Omicron dan bagaimana kita dapat tanganinya,”katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di Parlimen hari ini.

Kerajaan sebelum ini menetapkan tujuh indikator utama yang perlu dicapai sebelum Kementerian Kesihatan (KKM) boleh mengisytiharkan Malaysia memasuki fasa endemik, sekali gus bersedia untuk hidup bersama virus Covid-19.

Ia termasuk berkenaan jumlah penggunaan katil hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC); kapasiti ujian di makmal dan kadar positif Covid-19.

Hishammuddin berkata KKM juga sedang mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan varian Omicron dan akan mengumumkan perkara tersebut tidak lama lagi.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan akan mengenakan kawalan sempadan antarabangsa yang lebih ketat ke atas negara-negara yang telah melaporkan penyebaran varian Omicron.

Mengulas mengenai gesaan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa agar sekatan perjalanan ke atas negara itu dibatalkan, Hishammuddin berkata keputusan untuk menyekat adalah berlandaskan risiko keselamatan dan nasihat daripada KKM.

“Apa yang diputuskan oleh KKM tidak jauh dengan apa yang diumumkan oleh negara-negara lain di luar sana, saya percaya negara Afrika faham dia (sekatan) bukan berhubung kait dengan diplomasi atau geopolitik tetapi soal kesihatan.

“Takkan kita nak jejaskan apa yang kita dah lakukan selama satu setengah tahun ini dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab,”katanya.

Cyril Ramaphosa semalam menggesa negara terlibat supaya segera membatalkan larangan perjalanan ke negara itu yang dianggapnya tidak wajar secara saintifik kerana dikaitkan dengan penemuan varian Omicron.

Sementara itu, mengulas mengenai risiko pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura melalui Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) ekoran penularan varian baharu itu, Hishammuddin meminta semua pihak untuk sentiasa berwaspada bagi mengelak penularan Omicron di negara ini.

“Mesyuarat Kuartet mengambil maklum perbincangan kedua-dua Perdana Menteri (Malaysia dan Singapura) berhubung kait dengan kemungkinan destinasi lain yang berpotensi (dilaksana VTL) seperti Singapura ke Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Saya dah minta semua pihak untuk terus memikirkan dan berbincang dengan pihak negara berkenaan tetapi kita tidak akan buat keputusan sehingga kita tahu kesan dan impak sebenar varian baharu ini,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen