Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Bila perlu buat ujian dan siapa yang kena tanggung
Diterbitkan:  Dec 2, 2021 10:38 AM
Dikemaskini: 3:05 AM

Kementerian Kesihatan minggu lalu memaklumkan garis panduan baru yang lebih jelas berkenaan siapa yang perlu membuat ujian Covid-19, bila perlu melakukannya dan siapa yang perlu membayarnya.

Dokumen dengan nama Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk memudahkan pembukaan semula sektor sosial dan ekonomi secara selamat di tengah penularan wabak.

Sebahagian besar dokumen ini sama dengan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara oleh Majlis Keselamatan Negara, walau ada bahagian yang diterangkan lebih lanjut.

Antara lain ia menggalakkan orang ramai untuk membuat ujian sendiri sebelum menyertai sebarang acara dan kegiatan - terutama jika ia melibatkan interaksi antara isi rumah berbeza - walaupun mereka telah lengkap divaksin.

Misalnya ketika membuat perjalanan rentas neger, melawat warga emas, menyertai sidang atau kegiatan agama berskala besar serta aktiviti sosial melibatkan individu dari isu rumah yang lain.

"Ia penting bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada keluarga serta masyarakat dan mencegah kluster baru," menurut dokumen itu.

Majikan periksa tempat kerja 2 minggu sekali

Dokumen itu juga menyatakan keperluan membuat ujian untuk pelbagai keadaan.

Bagi tempat kerja, peraturan ujian bergantung sama ada ia dikategorikan sebagai risiko tinggi atau rendah, berdasarkan Annex 25 dan Annex 25a dalam garis panduan KKM.

Majikan perlu menentukan kategori tempat kerja berdasarkan penilaian risiko yang digariskan KKM setiap dua minggu.

Penilaian berdasarkan faktor seperti kadar vaksinasi pekerja, sama ada mereka dapat mengekalkan jarak fizikal atau tidak dan sama ada sistem pengudaraan diselenggara dengan baik.

Jika tempat kerja dalam kategori risiko rendah, tiada keperluan untuk membuat ujian setiap minggu kecuali pekerja yang tidak divaksin penuh atau tidak divaksin langsung walaupun layak. Ujian perlu dibuat dengan pemantauan majikan dan ditanggung sendiri oleh pekerja.

Mereka juga perlu menanggung sendiri ujian jika mereka mengalami gejala Covid-19.

Berbeza dengan pekerja yang divaksin penuh dan mereka yang dikecualikan daripadanya. Mereka hanya prlu mejalani ujian jika mengalami gejala Covid-19. Jika mereka mendapat gejala di tempat kerja, majikan perlu menanggung kos ujian.

Di tempat kerja berisiko tinggi pula, semua pekerja perlu membuat ujian setiap minggu tanpa mengira status vaksin mereka dan juga apabila menunjukkan gejala Covid-19. Peraturan berhubung pihak yang menanggung ujian tersebut adalah sama dengan tempat kerja berisiko rendah.

Mereka yang menjadi kontak rapat juga perlu membuat ujian.

Tiada kebenaran untuk orang tak divaksin

Di universiti, kolej dan sekolaha asrama, semua pelajar dan kakitangan perlu menjalani ujian apabila kembali daripada cuti dan apabila menunjukkan gejala.

Mereka yang tidak divaksin penuh atau tidak divaksin langsung perlu membuat ujian sendiri seminggu sekali. Mereka perlu dipantau pihak institusi dan menanggungnya sendiri.

Peraturan sama untuk di sekolah menengah, sekolah rendah dan tadika (kakitangan sahaja), kecuali keperluan untuk membuat ujian selepas cuti.

Bagi pelajar sekolah rendah yang belum layak untuk divaksin, 10 peratus dari populasi murid perlu menjalani ujian setiap minggu. Pemilihan perlu dibuat secara penggiliran.

Bagi perkumpulan berskala besar seperti perlawanan bola sepak, konsert, perkahwinan dan persidangan, hanya orang yang divaksin penuh atau dikecualikan atas faktor kesihatan dibenarkan menyertainya.

Mereka yang dikecualikan daripada menerima vaksin perlu membuat ujian Covid-19 di bawah pemantauan penganjur, manakala individu divaksin penuh "digalakkan" melakukan ujian sendiri dan tidak perlu dipantau penganjur.

Bagi golongan tertentu, misalnya penghuni rumah perlindungan dan orang tua, masyarakat Orang Asli dan penduduk di pedalaman, dasar ujian bergantung kepada kadar vaksinasi.

Jika kadar vaksinasi di bawah 80 peratus, mereka perlu melakukan ujian secara berkala. Jika kadar melebihi peratus itu, mereka perlu melakukan ujian hanya jika menunjukkan gejala.

Pindaan tak lama lagi

Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan pada mulanya dijadual dimuat naik di laman KKM pada 22 Oktober.

SOP Covid-19 MKN menyebut berkenaan dokumen ini pada 7 November, tetapi ia hanya diterbitkan pada Jumaat lalu.

Namun Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam berkata ia adalah "dokumen hidup" yang akan terus dikemas kini selaras dengan perkembangan wabak di Malaysia, terutama susulan kemunculan varian Omicron.

 

Lihat Komen
ADS