Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bursa Malaysia ditutup esok, pasaran terus merudum
Diterbitkan:  Dec 2, 2021 11:31 AM
Dikemaskini: 3:31 AM

Bursa Malaysia Bhd dan anak-anak syarikatnya akan ditutup pada Jumaat (3 Disember) sempena cuti khas peristiwa bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Operasi akan bersambung pada Isnin, 6 Disember 2021, kata pengendali bursa saham itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim mengisytiharkan Jumaat sebagai cuti umum di seluruh Wilayah Persekutuan bagi meraikan kemenangan KL City FC pada Piala Malaysia buat kali kali pertama sejak 32 tahun.

Sementara itu, Bernama melaporkan Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, namun merosot selepas itu berikutan pasaran kekal tidak menentu di tengah-tengah kebimbangan terhadap impak varian Omicron dan menjejaki prestasi Wall Street semalaman yang negatif.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.58 mata kepada 1,495.35 daripada 1,496.93 sewaktu ditutup pada Rabu.

Indeks utama dibuka tinggi 1.14 mata kepada 1,498.34.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 237 kepada 95, manakala 205 kaunter tidak berubah, 1,740 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 159.46 juta unit bernilai RM82.82 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd yakin ketidaktentuan di bursa tempatan mungkin kekal dengan mengambil kira keputusan kerajaan untuk menyekat pengembara dari lapan negara yang melaporkan penularan varian Omicron Covid-19.

Negara-negara itu adalah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Bagaimanapun, kemerosotan itu mungkin dikekang oleh Indeks Pengurus Pembelian (IPP) November di Malaysia yang menandakan keadaan operasi yang lebih baik.

Dari segi komoditi, ia berkata harga minyak mentah masih lemah, namun harga minyak sawit mentah (MSM) mencatatkan lonjakan sederhana.

“Pelabur mungkin mengelakkan sektor bertemakan pemulihan berikutan kebimbangan yang meningkat terhadap varian Omicron, yang berpotensi melewatkan kemajuan pemulihan ekonomi.

“Selain itu, minat belian mungkin dilihat dalam sektor penjagaan kesihatan berikutan aktiviti jualan baru-baru ini,” kata firma pembrokeran itu dalam nota Morning Pulse hari ini.

Mengenai unjuran teknikal, ia berkata paras sokongan selanjutnya bagi indeks itu dikesan pada 1,480, manakala rintangan berada pada sekitar 1,515-1,530.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga menambah satu sen masing-masing kepada RM7.96 dan RM9.23, Public Bank, Petronas Chemicals dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM3.19, RM8.50 dan RM5.03, manakala IHH turun enam sen kepada RM6.51.

Daripada saham aktif, Impiana Hotels menokok setengah sen kepada 8.5 sen, TH Heavy Engineering turun 4.5 sen kepada dua sen dan KNM tidak berubah pada 16 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 15.12 mata kepada 10,953.67, Indeks FBMT 100 menguncup 13.60 mata kepada 10,651.65, dan Indeks FBM Emas Syariah rendah 23.09 mata kepada 11,955.37.

FBM 70 merosot 27.66 mata kepada 14,341.33, manakala FBM ACE naik 16.08 mata kepada 6,481.70.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.39 mata kepada 194.02, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 10.47 mata kepada 14,938.84, dan Indeks Perladangan susut 8.91 mata kepada 6,428.52.

- Bernama

Lihat Komen
ADS