Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Omicron: KKM larang pelancong 48 negara sertai gelembung pelancongan Langkawi
Diterbitkan:  Dec 2, 2021 10:56 PM
Dikemaskini: 2:58 PM

Kementerian Kesihatan tidak membenarkan pelancong dari 48 negara, atau mereka yang pernah ke negara-negara berkenaan dalam tempoh 14 hari, daripada menyertai gelembung pelancongan Langkawi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan awal petang ini, KKM mengenakan larangan itu berikutan kebimbangan terhadap varian Covid-19 baru, Omicron.

Daripada 48 negara itu, 26 berada dalam senarai kerana telah melaporkan varian baru berkenaan, manakala 22 lagi telah dikenal pasti sebagai berisiko tinggi untuk dijangkiti varian Omicron.

Negara-negara dalam senarai yang telah melaporkan Omicron ialah United Kingdom, Portugal, Belanda, Australia, Kanada, Korea Selatan, Hong Kong, Israel, Itali, Jerman, Denmark, Sweden, Nigeria, Belgium, Jepun, Brazil, Norway, Republik Czech, Perancis/Reunion Island, Austria, Sepanyol, Arab Saudi, Ghana, Ireland, UAE dan AS (California).

Manakala negara yang dianggap berisiko tinggi ialah Rusia, Georgia, Poland, Ukraine, Romania, Slovakia, Macedonia Utara, Guernsey, Crotia, France Guiana, Filipina, Libya, Jordan, Bangladesh, Angola, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, Zambia dan Zimbabwe.

"Berikutan berita terkini penemuan varian Omicron, KKM telah memantau dan menjalankan penilaian risiko bagi menentukan negara-negara yang berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan VOC baharu ini.

"Pada 2 Disember 2021, KKM telah mengenal pasti negara-negara di dalam jadual di bawah sebagai negara berisiko. Justeru pengembara dari negara-negara yang disenaraikan di dalam Jadual 1 atau mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara tersebut dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan untuk menyertai Gelembung Pelancongan Langkawi (GPL).

"Senarai ini dikemaskini setiap hari dan boleh diakses di laman sesawang KKM," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan itu.

Sementara itu, menurut Noor Hisham, larangan itu tidak terpakai kepada penduduk Langkawi (warganegara Malaysia dan pemegang pas lawatan jangka panjang Malaysia) yang pulang dari negara yang disenaraikan atau berada di negara-negara berkenaan dalam tempoh 14 hari.

Bagaimanapun, katanya, mereka perlu melalui pintu masu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan.

Lihat Komen
ADS