Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hospital swasta cadang latih pakar sendiri
Diterbitkan:  Dec 3, 2021 10:34 AM
Dikemaskini: 2:50 AM

Perbincangan sedang berjalan untuk hospital swasta dibenarkan melatih pakar sendiri dalam pelbagai bidang, menurut Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Ia di tengah semakin ramai doktor kontrak yang meninggalkan perkhidmatan awam.

Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata, cadangan itu yang akan memberi manfaat kepada ratusan doktor kontrak yang menunggu penjawatan kekal, dibincangkan bersama-sama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam bengkel yang diadakan Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini.

"Peluang sedia ada untuk pegawai perubatan dilatih menjadi pakar dan diberikan jawatan dalam sektor awam adalah terhad," kata Kuljit dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali sebelum ini berkata sejumlah 514 doktor kontrak telah letak jawatan antara Januari hingga 26 November.

Dia juga berkata bilangan doktor kontrak yang berbuat demikian meningkat setiap tahun - 110 pada 2017, 168 pada 2018, 475 pada 2019 dan 511 pada tahun lalu.

Pada masa ini, Kuljit berkata pengamalan perubatan dan pembedahan di hospital swasta kebanyakannya bergantung kepada doktor pakar cekap yang terlatih dengan pengalaman dalam sistem kesihatan awam.

"Ramai berhijrah ke sektor swasta atas pelbagai sebab dan antara tarikan utama adalah gaji dan kebebasan untuk menggunakan teknologi tinggi.

"Kebimbangan kerajaan adalah penghijrahan kepakaran (brain drain) tetapi kebimbangan lebih besar sekarang adalah kurangnya peluang untuk doktor muda untuk dilatih menjadi pakar dan kemudian berkhidmat di hospital awam dan swasta," katanya lagi.

Dr Kuljit Singh

Berkenaan pelaksanaan cadangan itu, Kuljit berkata hospital swasta akan mendapatkan jaminan agar peruntukan pengambilan untuk calon yang didanai hospital swasta dapat diperolehi setiap tahun untuk pelbagai disiplin di universiti awam tempatan.

Katanya, pada masa ini ada program kepakaran yang dikendalikan Universiti Kumpulan Perubatan Johor (KPJ).

"Selain Universiti KPJ, hospital swasta lain mungkin akan memulakan program mereka sendiri tetapi proses itu boleh menjadi rumit.

"Hospital swasta juga boleh mengadakan program latihan dengan kolej antarabangsa dengan keahlian dan biasiswa sebagai pilihan, dengan harapan dapat didaftarkan dalam Daftar Pakar Perubatan Negara berdasarkan pengalaman dan pendedahan yang diperolehi ketika dalam perkhidmatan awam.

"Calon seumpama ini yang ditaja hospital swasta akan mempunyai ikatan yang panjang untuk berkhidmat kepada pesakit mereka," katanya lagi.

Terdahulu, doktor kontrak di negara ini membangkitkan isu keselamatan pekerjaan dan kurangnya peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran untuk menjadi pakar.

Mereka juga berdepan risiko hilang pekerjaan selepas tamatnya tempoh latihan lima tahun di hospital kerajaan.

Lihat Komen
ADS