Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Berwarna-warninya parti-parti politik di Malaysia tidak menandakan suburnya demokrasi. Di US atau UK, hanya ada dua blok utama parti sama ada Demokrat lawan Republikan (US), atau Buruh lawan Konservatif (UK).

Pengalaman ratusan tahun manusia menempuh senario politik kekuasaan telah membawa kita ke puncak pembahagian dua ideologi teras iaitu Kiri dan Kanan. Dua teras ideologi itu menjadi sangat jelas selepas Revolusi Perancis, 1789.

Parti aliran Kanan biasanya membawa faham kaum dan agama (atau disebut sebagai “politik identiti”) sebagai teras perjuangan, dan parti kiri pula berteraskan perjuangan kerakyatan dan nasib golongan bawahan.

Umno dan Pas adalah parti kanan. Sekalipun Presiden PAS, Hadi Awang menyebutkan “politik Islam”, jargon atau istilah itu sendiri telah mengesahkan bahawa PAS adalah parti aliran Kanan. Politik Islam adalah label semata-mata.

Beza di antara PAS dengan Umno ialah PAS berselindung di sebalik nama “Islam”, sementara Umno memakai pakej “Melayu”. Barang diingat, “Islam” atau “Melayu” di negara ini sesungguhnya merujuk satu kelompok kaum yang sama.

Ketika persaingan hebat di dalam PAS menjelang pemilihan parti pada 2015, asas ideologi yang bertembung ialah kelompok kiri yang mahu menjadikan PAS sebagai parti untuk semua, dengan kelompok yang mahu PAS kekal sebagai parti perkauman.

Sebenarnya mustahil mengharapkan “PAS untuk Muslim” menjadi “PAS For All” kerana PAS memang untuk Melayu sahaja. Langkah mewujudkan sayap kaum lain adalah usaha jahat untuk mengabsahkan bangsa kelas kedua di negara ini.

Oleh itu, slogan “PAS For All” tidak lebih sebagai sebuah puisi atau seperti khayalan penyakit yang mahu memintal buih menjadi permaidani. Takkan berlaku sama sekali!

Akhirnya kelompok yang ditandakan sebagai “Anwarista” pun kalah, sebelum mereka yang dikepalai Mohamad Sabu menubuhkan pula Amanah.

Pimpinan penaja Amanah tetap mahu meneruskan idea “PAS For All” ke dalam parti baru yang dikepalai oleh Mohamad Sabu. Slogan Amanah tidak lain ialah “rahmatan lil alamin”.

Lebih mudah dari gabungan dengan PRM

Namun sekiranya diamati dalam konteks real politik, maksud lain bagi “rahmatan lil alamin” ialah memperjuangkan seluruh rakyat tanpa mengira agama, warna kulit, budaya mahupun asal wilayah mereka. Konsep berkenaan adalah sama sahaja dengan beberapa gerakan kiri di negara ini sejak sebelum merdeka seperti Angkatan Pemuda Insaf (API) atau pun Front Sosialis.

Bahkan, kesedaran itu jugalah yang memungkinkan percantuman Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan Parti Keadilan Nasional (PKR) yang menjadikan PKR seperti PKR hari ini. Dengan hujah sama, maka jalan penggabungan PKR-Amanah bakal dilihat lebih mudah untuk dijayakan.

Sementelahan itu, kemuncak untuk mewujudkan dua blok politik adalah petanda kematangan tamadun sesebuah bangsa. Parti-parti yang semakin banyak di Malaysia mutakhir ini hanya bayangan politik rendah atau dendam peribadi yang mana tidak berakhir menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat tertingginya.

Lihat sahaja Bersatu ditubuhkan kerana dendam Mahiaddin Yassin terhadap Najib Razak. Pejuang dan Muda pula hanya sepihan daripada Bersatu, yang mereka tidak bersetuju dengan tindakan Mahiaddin.

Begitu juga Warisan yang menjadi wadah kepada mantan naib presiden Umno yang berasal daripada Sabah, Shafie Aqdal untuk meneruskan perjalanan politiknya. Setiap mereka cuba melaungkan politik baru yang kononnya bersih atau melawan rasuah—tetapi bagi rakyat kebanyakan, ia tidak lebih berupa sebuah hipokrasi semata-mata.

Sudah tentu segelintir orang akan menyindir pandangan ini dengan menyatakan Anwar Ibrahim juga berdendam terhadap Mahathir Mohamad—kerana itulah PKR lahir.

Hujah sebegitu mudah dipatahkan kerana kenyataannya Anwar sudah pun memaafkan dan menerima Mahathir menjelang PRU lalu, tetapi sekali lagi Anwar jualah yang dikhianati oleh Mahathir. Maka soal PKR adalah parti dendam Anwar terhadap Mahathir sudah tidak lagi berbangkit.

Dan kalau pun terlepas daripada segala hipokrasi dan cerita dendam kesumat, parti-parti baru yang berselirat di pentas politik negara ini hampir kesemuanya gagal menyediakan tapak ideologi selain cocok dengan realiti kaum di Malaysia. Parti pelbagai kaum yang tidak menggambarkan demografi Malaysia juga pada akhirnya dinilai sebagai parti perkauman seperti Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang akhirnya turut berkubur.

Ramuan mirip BN gagal

Asas lain yang oleh mereka yang pro kepada formula sistem dua parti ialah dengan melihat ramuan mirip BN yang sudah berkali cuba dilaksanakan, tetapi tetap gagal. Sebelum ini pun, beberapa bentuk gabungan telah diusahakan seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif sehinggalah Pakatan Rakyat—ternyata ia gagal berulang-ulang.

Dan mengapa kita harus mengulangi sesuatu yang sudah berkali gagal? Tidakkah kita menginsafi dan memikirkan kaedah atau cara lain?

Dengan semua pengalaman itu juga, maka usaha mewujudkan Perikatan Nasional (PN) oleh Bersatu sangat tidak meyakinkan. Bahkan gabungan Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) nampaknya sudah tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja.

Kegagalan-kegagalan sekian banyak gabungan antara lain adalah disebabkan wujudnya persaingan sesama parti kanan. Misalnya di dalam APU pada penghujung 1980-an, PAS memang tidak akan membiarkan S46 menjadi lebih besar untuk menggantikan Umno.

Begitu juga dalam MN, sekali lagi mustahil PAS mahu membiarkan Umno kembali berkuasa. Cerita sama jugalah di dalam PN nanti, PAS tidak akan secara sukarela membiarkan Bersatu menjadi parti dominan terhadap orang Melayu, untuk menggantikan Umno. Bagi PAS, PAS-lah yang paling layak dan berhak menguasai politik Melayu.

Umno rasanya sedar akan kenyataan tersebut. Lantaran itu, Umno tidak pernah mahu mengundang PAS menjadi sebahagian daripada komponen BN. Umno lebih sanggup mewujudkan gabungan di tepi gabungan BN, iaitu MN itu tadi.

Konsep politik parti-parti gabungan sebenarnya juga merupakan politik lapuk. Lihatlah sama ada Demokrat atau Republikan, masing-masing merupakan “parti tunggal” dan bukannya gabungan seperti BN, PN mahupun PH.

Saya meramalkan, mana-mana parti yang dapat menghimpunkan seluruh kekuatan ke dalam konsep parti tunggal kelak paling layak berdepan dengan BN.

Rakyat telah menyaksikan betapa bermasalahnya sistem parti gabungan sehingga persoalan asas kenegaraan seperti isu perkauman, hak-hak wilayah, bahasa dan sistem pendidikan yang saksama misalnya pun masih tidak kunjung selesai.

Saya sebenarnya memang tidak berminat menjadikan idea penggabungan PKR-Amanah sebagai kononnya langkah taktikal atau strategi. Sekalipun sedikit sebanyak ia terkait soal taktikal dan strategi, tetapi ia tetap perlu mencapai kepentingan yang jauh lebih besar iaitu sebagai kesedaran awal demi mencapai kematangan demokrasi serta membina tamadun yang unggul bagi bangsa kita.

Tujuan akhir itu tidak akan boleh dicapai dengan kapal-kapal kecil meski bermacam-macam warna, dan tidak boleh juga dicapai dengan kapal yang kononnya besar namun sering menukar-nukarkan layarnya.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS