Selangor akan wartakan fatwa Rufaqa ajaran sesat

   

Jawatankuasa Fatwa Selangor akan mewartakan ajaran atau amalan Pertubuhan Rufaqa sebagai sesat, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat negeri Datuk Abdul Rahman Palil.

Berucap dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini, beliau berkata, pertubuhan yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin Kumpulan Al-Arqam yang diharamkan, Ashaari Muhammad telah diputuskan sebagai haram dalam

mesyuarat jawatankuasa berkenaan pada 2 Oktober lepas.

" Jawatankuasa tersebut memutuskan ajaran atau amalan kumpulan Rufaqa itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar. Memandangkan fatwa "sesat" yang sedia ada adalah atas nama Al-Arqam, bukan Rufaqa, maka kajian semula perlu dilakukan memandangkan sebarang tindakan boleh membawa implikasi undang-undang," katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman (BN-Taman Templer) pada sidang DUN itu

Menurut laporan Bernama, kumpulan Al-Arqam difatwakan sebagai ajaran sesat pada 1994.

Beliau berkata kerajaan negeri memang menyedari kewujudan nama baru Kumpulan Al-Arqam sebagai Rufaqa dan Jabatan Agama Islam Selangor sedang mengambil langkah yang sewajarnya berhubung perkara itu.

Abdul Rahman berkata terdapat beberapa ciri kesalahan yang diamalkan kumpulan Rufaqa yang disyaki menyamai ajaran Aurad Muhammadiah.

Katanya antara ajaran yang diamalkan oleh kumpulan Rufaqa itu ialah menganggap Ashaari sebagai sahibul zaman (orang yang dianggap seperti wali) manakala Syeikh Muhammad as-Suhaimi sebagai Imam Mahdi serta mendapat ilmu secara langsung daripada Syeikh Muhammad as-Suhaimi dan Rasullulah mengenai perkara yang akan berlaku pada masa depan.

Kepada pertanyaan Datuk Zainal Abidin Sakom (BN-Batang Kali), Abdul Rahman berkata beberapa tindakan yang boleh diambil untuk mencegah kegiatan Rufaqa iaitu mempercepatkan pewartaan fatwa, menjalankan pelaksanaan undang-undang sivil dan enakmen hukum syarak Kerajaan Selangor yang bersesuaian mengenai ajaran yang dibawa pertubuhan itu.

Ketika ditemui pemberita selepas sidang DUN ditangguhkan, Abdul Rahman berkata JAIS akan meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa bahawa ajaran yang dibawa Pertubuhan Rufaqa' sebagai sesat.

Orang-orangnya lama, hanya tukar baju sahaja," katanya.

Tindakan ISA

"Kita berharap, bila kerajaan Selangor sudah menjalankan operasi penangkapan mereka yang cuba menghidupkan semula ajaran Al-Arqam, disambut oleh semua kerajaan negeri dan agensi kerajaan," katanya.

Sabtu lepas, 103 orang ditahan di sebuah premis rumah kedai di Seksyen 13 di sini dalam satu perjumpaan yang dipercayai sesi penambahan ahli bagi Pertubuhan Rufaqa itu.

Abdul Rahman berkata sessi taklimat akan dilakukan pada setiap Sabtu di premis berkenaan sebelum dibawa menemui Ashaari di Nilai Springs untuk diberi "power" oleh Ashaari.

Beliau berkata JAIS dan kerajaan Selangor akan turut menghantar laporan kepada Ketua Polis Negara dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan sewajarnya.

Abdul Rahman berkata sekiranya perlu, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) harus digunakan ke atas anggota kumpulan Rufaqa itu.

Beliau berkata walaupun ajaran Aurad Muhammadiah tidak secara terang cuba dihidupkan semula, namun kebanyakan anggota pertubuhan Rufaqa terdiri daripada bekas pengikut Al-Arqam.

Beliau juga berharap penjualan buku "Abu Ashaari Muhammad - Pemimpin Paling Ajaib Di Zamannya" yang ditulis isteri pertama bekas pemimpin Al-Arqam itu, Khadijah Aam, yang kini berada di pasaran sejak tiga atau empat bulan lepas, diharamkan kerana bimbang ia akan menyelewengkan akidah umat Islam.

Buku itu antara lain mendakwa Abuya bertemu dengan Nabi Ibrahim di tempat baginda dibakar kaumnya, mendakwa mereka yang terkeluar daripada jamaah Abuya akan hilang hubungan dengan Tuhan, hilang imannya serta menjadi penentang agama atas nama agama, mendakwa Imam Mahadi akan datang selepas berlaku Daulah Islamiyah di Malaysia dalam tempoh tiga ke empat tahun lagi, mendakwa Abuya boleh menangguhkan kematian seseorang.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In