Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menafikan rakaman video mengenai operasi menahan pesalah khalwat dibuat oleh anggota penguatkuasa jabatan berkenaan, diedar dan diberikan kepada individu tertentu untuk dimuat-turun ke lamanweb.

Sehubungan itu, Pengarahnya, Mohammed Khusrin Munawi berkata, Jais akan membuat laporan polis agar mereka yang melakukannya dihadap ke muka pengadilan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan, tiada peruntukan prosedur dalam siasatan jabatan itu yang memerlukan adegan pesalah dirakamkan.

"Ia bukan salah satu prosedur siasatan yang ditetapkan jabatan kerana dua mekanisme boleh dilaksanakan, iaitu terus ke rumah pesalah untuk siasatan atau pun mengarahkan mereka hadir untuk membuktikan mereka sudah ada ikatan perkahwinan.

"Jais sendiri tidak memiliki peralatan khusus di setiap daerah untuk merakamkan sebarang tindakan pencegahan. Malah, Jais juga tidak memiliki rekod koleksi foto secara khusus di dalam inventori penguatkuasaannya," kata Mohammed Khusrin.

Selepas menonton rakaman video itu, beliau berkata, Jais mendapati perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab, dengan merakam adegan pasangan terbabit dan mengugut akan mengirimkannya kepada keluarga pesalah.

"Malah, modus operandi ini pernah disiarkan dalam beberapa majalah tempatan. Dalam pemerhatian tersebut juga, jabatan mendapati tindakan pencegahan hanya dilakukan seorang diri dengan si perakam bertanyakan soalan," katanya.

'Jais files'

Walhal, katanya, tindakan sedemikian memerlukan sekurang-kurangnya dua orang penguatkuasa untuk mengambil keterangan dan soal siasat.

Katanya, Jais mengesyaki ia sebagai satu usaha untuk merosakkan imej jabatan dan juga bahan tarikan oleh pengusaha internet terbabit untuk menarik orang ramai menonton klip video berkenaan.

Jais juga, katanya, ada mengesan beberapa lamanweb yang mengeluarkan gambar-gambar lucah gadis tempatan dan menyelitkan satu fail dengan meletakkan tajuk 'Jais Files'.

"Penemuannya jelas (menunjukkan) gambar yang ada adalah palsu dan rekaan semata-mata dan dipercayai bagi menarik perhatian orang ramai agar mempercayai bahannya adalah seratus peratus tempatan.

"Justeru Jais akan membuat laporan polis agar mereka yang melakukan perkara ini akan dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai prosedur penguatkuasaan Jais, Mohammed Khusrin berkata, jabatan itu tidak memerlukan pembuktian pada tahap tersebut kerana elemen keterangan utama menurut syarak di mahkamah, adalah saksi dan bukannya gambar-gambar berkenaan.

Perbuatan NGO

"Enakmen Jenayah Syariah Selangor sendiri berkaitan salahlaku khalwat, Jais tidak memerlukan sehingga selesai sesuatu perlakuan ataupun sedang melakukan ataupun nak melakukan, tetapi sudah memadai dengan adanya elemen seorang lelaki dan wanita di tempat sunyi atau di dalam premis kediaman tanpa sebarang ikatan perkahwinan," katanya lagi.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jais Fakhrul AzamYahya, ketika dihubungi malaysiakini, mengesyaki rakaman video tersebut dibuat oleh sebuah badan Islam bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi di kawasan Bangi.

"NGO tersebut juga tidak diberi kuasa untuk menjalankan operasi menahan dan menangkap orang Islam yang berkhalwat, melainkan bagi tujuan dakwah.

"Jais boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas NGO terbabit kerana menyamar sebagai pegawai penguatkuasa Jais tetapi belum bercadang berbuat demikian," katanya.

Dalam perbicaraan khalwat, katanya, elemen utama ialah empat saksi dan rakaman video bukan satu kemestian melainkan sebagai tambahan sahaja.

Katanya, ini bukan kali pertama penyebaran video mengenai tangapan umat Islam berkhalwat diedarkan kepada umum.