Zainuddin: Tiada siaran langsung sidang parlimen
Persidangan Parlimen tidak akan disiarkan secara langsung kerana tingkah laku ahli Parlimen ketika bersoal jawab dan berbahas masih berasaskan politik berbaur perkauman.
Persidangan Parlimen tidak akan disiarkan secara langsung kerana tingkah laku ahli Parlimen ketika bersoal jawab dan berbahas masih berasaskan politik berbaur perkauman.
Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin berkata, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) membuat keputusan itu bagi menjaga keharmonian rakyat di negara ini selain ia membabitkan kos yang tinggi.
"Bayangkan jika suasana Parlimen yang lebih terbuka kepada parti politik dari pelbagai kaum untuk bersuara disiarkan secara langsung. RTM tidak akan menyiarkan secara langsung persidangan Parlimen meskipun perkara itu sering dituntut pembangkang," tegasnya di Kangar.
"Belum sampai masanya kita menyiarkan persidangan Parlimen secara langsung kerana kematangan pemikiran masyarakat kita tidak berada pada tahap yang tidak sensitif terhadap isu-isu berbaur perkauman," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mesra Bersama Pemimpin anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Negeri Perlis di Kangar.
Umpamanya, kata beliau, baru-baru ini dibangkitkan tentang harga Istana Negara yang baru dan ini dengan jelas telah menyentuh sensitiviti orang Melayu berhubung hak ketuanan mereka.
Beliau juga memberi contoh persidangan Agung Umno yang disiarkan secara langsung baru-baru ini yang telah mencetuskan keadaan yang menjadi pertikaian beberapa pihak sehingga hari ini.
Menurut laporan Bernama, Zainuddin juga berkata, memandangkan kedudukan parti politik di negara ini masih bergantung kepada kekuatan sesuatu kaum dan bukan berasaskan perpaduan seluruh rakyat Malaysia, satu bentuk kawalan seperti Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih diperlukan.
"Walaupun parti MCA, Gerakan dan Umno menjadi parti komponen Barisan Nasional, tetapi ia masih berasaskan kepada politik kaum masing-masing. Memang tidak dinafikan wujud perpaduan tetapi kadangkala masyarakat dikejutkan oleh sesuatu isu yang tidak diduga," katanya.

