Khalid persoal mengapa PNB 'tidak tahu' syor penggabungan
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, adalah suatu yang amat pelik dan membimbangkan jika benar pengurusan agensi pelaburan bumiputera itu tidak tahu menahu lebih awal cadangan penggabungan syarikat perladangan miliknya.
" Ini adalah satu situasi yang amat pelik. Bagaimana boleh satu inisiatif korporat yang membabitkan aset PNB bernilai kira-kira RM20 bilion tidak diketahui oleh CEO, lembaga pengarah dan pengurusan kanannya.
"Kalau begini senarionya, para pelabur dan pemegang unit ASN (Amanah Saham Nasional) dan ASB (Amanah Saham Bumiputera) akan berasa amat bimbang," katanya bagi mengulas cadangan pengabungan konglomerat Sime Darby Berhad, Kumpulan Guthrie dan Golden Hope Berhad, membabitkan kos RM31.4 bilion yang diumumkan semalam.
PNB adalah pemegang saham terbesar dalam ketigatiga syarikat itu dengan 50.3 peratus ekuiti dalam Kumpulan Guthrie, 39.62 peratus dalam Sime Darby dan 13.28 peratus dalam Golden Hope.
Di bawah cadangan penggabungan yang diumumkan oleh penasihat kewangan, CIMB Bank semalam, ketiga-tiga syarikat perladangan itu akan digabungkan di bawah sebuah syarikat khas, Synergy Drive Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh bank tersebut.
Dalam sidang medianya semalam, CEO CIMB, Datuk Nazir Razak berkata rasional penggabungan itu adalah untuk mewujudkan sinergi bagi keseluruhan operasi perladangan di bawah PNB, yang mempunyai 600 ribu hektar tanah.
Pengurangan kos
Ia juga bagi menokok tambah nilai dan pengurangan kos operasi serta meningkatkan keuntungan.
Nazir juga menyebut, 45 peratus daripada saham Synergy Drive akan dikuasai oleh PNB dan 10 peratus lagi oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bagaimanapun CEO PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Othman dalam
reaksi awalnya terhadap syor penggabungan itu berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang idea tentang penggabungan tersebut.
Semalam beliau menyatakan sekali lagi PNB belum lagi melihat sebarang cadangan dan sebagai pelabur, PNB berpendapat isu cadangan ini perlu diselesaikan di peringkat syarikat dahulu, sebelum ditimbangkan oleh PNB
Khalid menambah, sepatutnya dalam satu-satu tindakan korporat, Pengerusi atau CEO syarikat itu akan bersuara tetapi dalam penggabungan ketiga-tiga syarikat ini Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang bersuara lantang menyokong cadangan itu.
" Ketika saya menerajui PNB dulu, pengurusan syarikat akan tahu dulu tentang apa-apa cadangan. Tak tahulah kalau prosidur itu telah diubah sekarang," ujarnya yang juga merupakan bekas pemegang saham terbesar dalam kumpulan Guthrie beberapa tahun lalu.
Menurutnya lagi, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh orang politik berkaitan cadangan ini juga amat membimbangkan kerana ia menggambarkan campurtangan kerajaan dalam urusniaga swasta.
" Apabila pengurusan PNB mendakwa mereka tidak tahu apa-apa tentang penggabungan ini dan pemimpin kerajaan pula dengan lantang menyokongnya, nampak seolah-olah ada tangan-tangan ghaib di belakang urusniaga ini."
Senario ini amat membimbangkan kerana jika pelabur asing membuat tanggapan bahawa kerajaan campurtangan dalam urusniaga swasta, pasaran modal tempatan akan dipinggirkan. Selain itu peranan dan kewibawaan PNB kini dipersoal oleh para pelabur."
"Tindakan pemimpin negara memainkan kerja-kerja "perhubungan awam" berkaitan urusniaga ini juga tidak baik untuk pasaran modal negara. Para pelabur ini cukup bijak untuk membuat keputusan sendiri, mereka tidak perlu nasihat dari orang politik," tambahnya.
Pengarah bebas
Khalid yang kini menjadi bendahari Parti Keadilan Nasional (PKR) juga berharap ahli lembaga pengarah bebas dalam ketiga-tiga syarikat berkenaan akan memainkan peranan mereka melindungi kepentingan pemegang saham minoriti.
" Saya harap ahli lembaga pengarah bebas ini akan lebih bertanggungjawab. Mereka berhak untuk melantik penasihat kewangan bebas untuk menilai cadangan penggabungan ini. Saya harap mereka tidak membiarkan diri mereka dipergunakan oleh mana-mana pihak,"ujarnya.
Menurut beliau lagi, dalam melaksanakan urusniaga ini, selain dari kepentingan perniagaan perlu diambilkira, pulangan kepada pelabur khususnya pemegang unit ASN dan ASB serta masa depan lebih 100,000 pekerja ketiga-tiga syarikat juga perlu ditekankan.
" Kita tidak nafikan pemberhentian pekerja adalah sebagaian daripada asam garam dalam langkah penggabungan tetapi pihak pengurusan baru perlu memastikan sebarang pengurangan pekerja dibuat mengikut peraturan termasuk garis panduan antarabangasa kerana urusniaga ini membabitkan syarikat multi nasional," katanya lagi.
Khalid juga mempersoalkan tujuan dan kewibawaan tenaga di belakang Synergy Drive itu selain mahu tahu berapa kos yang dikenakan oleh penasihat bagi melaksanakan langkah korporat ini.
"Walau apapun kita tunggu dan tengok dokumennya dulu, tapi pada peringkat awal ini jelas sekali banyak perkara pelik dan kenyataan yang berbeza dikeluarkan oleh pihak terbabit,"ujarnya.
Menurut kenyataan Nazir semalam, dua pemegang amanah Synergy Drive ialah Rossaya Mohd Nashir dan Wan Razly Abdullah, kedua-dua pegawai kanan CIMB Bank.
"Kedua-dua orang itu hanyalah pemegang amanah dan pada mulanya mereka mempunyai dua saham, bila semua urusan selesai, kedua-dua saham ini langsung tidak penting dan boleh diabaikan dari segi nilai tetapi apa jua keuntungan yang diraih daripada kedua-dua saham itu akan didermakan untuk tujuan amal, itu sahaja," jelasnya.
Beliau juga memberikan jaminan bahawa memandangkan entiti-entiti ini sudahpun beroperasi, terdapat "hanya sedikit gangguan kepada apa yang mereka lakukan sekarang" dan perniagaan akan berjalan seperti biasa.