Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Dr M 'hentikan' penglibatan penasihat Guan Eng
Diterbitkan:  Dec 6, 2021 7:23 PM
Dikemaskini: 11:23 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad didakwa menghentikan tindakan seorang penasihat Lim Guan Eng, ketika itu sebagai menteri kewangan, yang melangkaui kuasanya dalam urusan dengan penjawat awam, menurut satu laporan.

Menurut laporan itu, buku terbaru Mahathir yang bakal diterbitkan ada menyebut tentang seorang pemimpin DAP yang tidak dinamakan melibatkan diri dalam urusan kerajaan, walau dalam hal di luar bidang kuasanya, dan ia boleh memberi "peluru" kepada penyokong Umno untuk membangkitkan sentimen perkauman terhadap parti itu.

Dia juga didakwa membuat ancaman ketika berbuat demikian.

"Kerajaan tidak bergerak dengan cara itu, jadi saya hentikan perkara itu setakat yang saya tahu, tetapi perlakuan seperti itulah yang membolehkan tentera siber Umno memainkan kebimbangan kaum," kata Mahathir dalam buku itu, seperti dipetik laman MalaysiaNow.

Buku bertajuk Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia adalah memoir kedua Mahathir dan akan menyentuh peristiwa bermula peletakan jawatannya sebagai perdana menteri pada 2003 sehingga kembali memegang jawatan itu pada 2018.

Menurut laporan itu, Mahathir tidak menyatakan nama penasihat Lim yang dimaksudkan tetapi menyebut dia adalah wakil rakyat di Lembah Klang dan antara pegawai yang rapat dengan Lim di Kementerian Kewangan ketika pentadbiran PH.

Menurut laporan itu lagi, Mahathir turut menyebut satu insiden di mana individu itu didakwa mengugut sebuah syarikat pemaju yang berdepan masalah kewangan dalam projek usaha sama dengan kerajaan untuk membangunkan kompleks bernilai berbilion ringgit di Kuala Lumpur.

Pentabdiran Najib Razak sebelum itu dikatakan telah setuju untuk memberi pinjaman kepada syarikat itu tetapi dengan syarat keseluruhan projek akan diserahkan kepada kerajaan jika pelaksanaannya tidak menepati jadual yang ditetapkan.

"Penasihat DAP ini membuat ugutan walaupun berbilion telah dikeluarkan dan dia berbuat demikian tanpa merujuk kepada atau mendapat sebarang autoriti daripada kerajaan.

"Ada juga ketika di mana penasihat ini secara terbuka bercakap bagi pihak kerajaan walau tiada kedudukan untuk berbuat demikian," kata Mahathir seperti dipetik.

Bagaimanapun, kata Mahathir lagi, cadangan daripada kementerian perlu dipersetujui secara bersama oleh Kabinet dan Lim sentiasa merujuk dan mendapatkan kelulusannya selaku perdana menteri untuk hampir semua inisiatif.

"Malah, ketika dalam mesyuarat Kabinet, setiap kali dia mencadangkan sesuatu, dia akan menutupnya dengan berkata 'jika perdana menteri bersetuju'," kata Mahathir lagi seperti dipetik.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS