Satu lagi "penggabungan mega" akan dilaksanakan, kali ini membabitkan dua kumpulan media utama negara ini, New Straits Times Press Bhd (NSTP) dan Kumpulan Utusan Melayu.

Jika penggabungan ini dilaksanakan, Umno akan menguasai kumpulan media terbesar negara ini, menurut laporan akhbar hari ini.

Dalam proses penggabungan itu, kedua-dua kumpulan dikatakan akan digabungkan di bawah sebuah syarikat khas yang belum diumumkan namanya.

Laporan akhbar Straits Times Singapura yang memetik sumber ekskutif kewangan yang mempunyai kaitan dengan cadangan penggabungan itu menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberikan lampu hijau kepada cadangan tersebut.

Menurut laporan tersebut, operasi sidang pengarang di syarikat-syarikat berkenaan akan terus dipisahkan selepas penggabungan yang dijangka akan diumumkan dalam beberapa hari lagi.

"Dari sudur editorial, tiada apa-apa perubahan. Urusniaga ini didorong oleh faktor komersil seperti pendapatan pengiklanan dan penjimatan kos dalam penggunaan mesin cetak dan kakitangan," kata eksekutif berkenaan.

Laporan tersebut juga menyatakan faktor politik turut memainkan peranan dalam penggabungan ini, kerana NSTP akan diletakkan di bawah kawalan Umno sepenuhnya selepas ini.

Ketika ini Umno menguasai kira-kira 50 peratus ekuiti dalam Utusan Melayu, yang menerbitkan akhbar harian Utusan Malaysia dan Kosmo serta akhbar mingguan Mingguan Malaysia.

Bagaimanapun penguasaan parti itu terhadap NSTP selama ini hanya menerusi syarikat nominee seperti Media Prima yang mempunyai 43 peratus kepentingan dalam NSTP.

NSTP menerbitkan akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times dan Malay Mail selain akhbar berbahasa Melayu, Berita Harian, Harian Metro dan Berita Minggu.

Di bawah cadangan penggabungan itu, saham NSTP dan Utusan Melayu akan dinyah senarai dari Bursa Malaysia dan pemegang saham sedia ada diberikan saham baru dalam entiti baru yang mengambilalih kedua-dua kumpulan akhbar itu.

Menurut Straits Times lagi, pemegang saham NSTP dijangka menerima bayaran tunai di bawah skim tersebut dan Umno serta Media Prima akan memiliki bersama 40 peratus ekuiti syarikat baru itu.

Selepas penggabungan tersebut, edaran akhbar berbahasa Melayu dari kedua-dua syarikat itu dianggarkan berjumlah kira-kira 800,000 nashkah sehari.

Urusniaga itu juga dijangka akan meletakkan kedua-dua syarikat yang dikaitkan dengan Umno itu dalam kedudukan kewangan yang kukuh untuk bersaing dengan kumpulan akhbar berbahasa Inggeris utama negara, The Star yang dikuasai oleh MCA.

Sementara itu, akhbar perniagaan, The Edge pula melaporkan cadangan penggabungan itu dimulakan sejak enam bulan lalu.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima, Abdul Rahman Ahmad enggan mengesah atau menafikan spekulasi tersebut. Berita asal