Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

LANGSUNG | Mahkamah Rayuan akan menyampaikan keputusan berhubung rayuan bekas perdana menteri Najib Razak hari ini bagi membatalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn bhd.

Malaysiakini melaporkan prosiding tersebut secara langsung.


Prosiding melalui Zoom selesai

Istana Kehakiman - 11.18 pagi: Perayu Najib Razak, pasukan peguamnya, pendakwaan, serta tiga hakim Mahkamah Rayuan keluar daripada prosiding atas talian melalui Zoom selepas hakim membuat keputusan terhadap rayuan bekas perdana menteri itu dalam kes SRC International.


Mahkamah Rayuan benarkan penangguhan hukuman

Istana Kehakiman - 11.17 pagi: Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Persekutuan

Hakim Abdul Karim berkata penangguhan pelaksanaan hukuman juga meliputi sabitan terhadap Najib, sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Abdul Karim berkata, syarat penangguhan hukuman adalah sama seperti  diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi iaitu jaminan RM2 juta dengan dua penjamin, dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran dua kali sebulan.


Tenang di kediaman Najib

1.14 pagi - Pavilion Residences: Kawasan kediaman Najib masih lagi lengang dan tiada sebarang aktiviti keluar masuk.

Malaysiakini turut dimaklumkan bahawa polis pengiring masih berada di sini.


Pihak pembelaan mohon tangguh pelaksanaan hukuman memandangkan Najib adalah ahli parlimen

11.10 pagi - Istana Kehakiman - Peguam Muhammad Shafee Abdullah berhujah penangguhan pelaksanaan boleh dilakukan bagi hukuman dan sabitan terhadap Najib.

Peguam itu berkata, ini lebih-lebih lagi kerana perayu adalah seorang penggubal undang-undang.


Rayuan ke Mahkamah Persekutuan sia-sia jika tiada penangguhan hukuman penjara dan denda: Peguam Najib

10.56 pagi - Istana Kehakiman: Peguam bela, Farhan Read mengemukakan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta terhadap Najib Razak, dengan mengatakan bahawa rayuan ke Mahkamah Persekutuan akan menjadi sia-sia jika Mahkamah Rayuan tidak membenarkan penangguhan hukuman.


Najib kelihatan tenang

10.52 pagi - Istana Kehakiman- Bekas perdana menteri Najib Razak kelihatan tenang pada paparan skrin Zoom susulan keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuannya terhadap hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.


Najib rayu ke Mahkamah Persekutuan: Shafee

10.45 pagi - Istana Kehakiman: Peguam bela Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa mereka akan merayu terhadap keputusan hari ini yang menolak rayuan Najib Razak dalam kes rasuah RM42 juta dana SRC International.

Peguam itu kini mengemukakan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu, sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Persekutuan.


Mahkamah Rayuan tolak rayuan Najib berhubung kes SRC

10.40 pagi - Istana Kehakiman: Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa mahkamah mengekalkan denda RM210 juta dan penjara 12 tahun terhadap Najib Razak.

Dia berkata mahkamah menolak rayuan Najib.


Hakim perbicaraan betul apabila mendapati Najib bersalah atas 7 pertuduhan: Mahkamah Rayuan

10.39 pagi - Istana Kehakiman: Hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram terhadap Najib Razak.


Pendakwaan berjaya buktikan tiga pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Najib

10.36 pagi - Istana Kehakiman: Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan tiga pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Najib Razak.


Dakwaan derma dari Arab tak berasas

10.30 pagi - Istana Kehakiman: Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa panel hakim bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa dakwaan pihak pembelaan Najib Razak berhubung derma Arab adalah tidak berasas.

Dia memutuskan bahawa tiada bukti bahawa wang itu adalah daripada keluarga diraja Arab dan sebaliknya banyak bukti menunjukkan dana itu daripada SRC.


Mahkamah: Tiga pertuduhan pecah amanah terhadap Najib melampaui keraguan munasabah

10.27am - Istana Kehakiman - Hakim memutuskan bahawa hakim perbicaraaan adalah betul mendapati bahawa tiga pertuduhan pecah amanah terhadap Najib telah dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

Najib dilihat tenang mengikuti prosiding melalui Zoom.


Dakwaan derma Arab kepada Najib tidak boleh dipertahankan

10.25 pagi- Istana Kehakiman - Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa dakwaan pihak pembelaan terdapat derma dari Arab yang masuk ke akaun Najib Razak adalah tidak boleh dipertahankan.

Dia membuat keputusan bahawa jika ia benar-benar derma Arab, maka tidak ada sebab untuk wang itu terlebih dahulu didepositkan ke akaun SRC, yang merupakan entiti milik penuh Kementerian Kewangan.


Najib tahu kemasukan RM42 juta daripada SRC ke akaunnya: Mahkamah Rayuan

10.21 pagi - Istana Kehakiman: Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan Najib Razak mempunyai pengetahuan mengenai kemasukan RM42 juta ke akaun bekas perdana menteri itu antara 2014 dan 2015.

Hakim menyatakan bahawa mahkamah bersetuju dengan hakim perbicaraaan bahawa terdapat penyelewengan jelas sebanyak RM42 juta oleh Najib untuk kegunaannya sendiri.


RM42 juta aliran wang untuk elak pengesanan pihak berkuasa: Mahkamah Rayuan

10.17 pagi - Istana Kehakiman:  Hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa RM42 juta aliran wang keluar dari SRC dan ke beberapa syarikat dilakukan untuk menyukarkan pengesanan dan mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.


Najib ada kuasa penuh ke atas SRC: Mahkamah Rayuan

10.15 pagi - Istana Kehakiman: Hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa hakim perbicaraan adalah betul apabila mendapati Najib Razak mempunyai kuasa penuh ke atas SRC International.


Tindakan Najib mengarahkan lembaga pengarah SRC mengalihkan pinjaman ke luar negara bercanggah tujuan pinjaman

10.10 pagi - Istana Kehakiman: Hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa hakim perbicaraan adalah betul apabila mendapati Najib Razak telah mengarahkan lembaga pengarah SRC mengalihkan dana pinjaman ke luar negara yang tidak ada kaitan dengan tujuan pinjaman daripada KWAP.

Hakim menyatakan bahawa Najib merupakan ketua pengarah SRC.


Najib ialah 'pengarah bayangan' SRC: Mahkamah Rayuan

10.05 pagi- Istana Kehakiman: Hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa hakim perbicaraan adalah betul apabila mendapati Najib Razak adalah "pengarah bayangan" bagi SRC International.


Tindakan Najib berkaitan pinjaman RM4 bilion kepada SRC tidak membawa kepentingan kepada negara: Mahkamah Rayuan

10 pagi - Istana kehakiman: Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil berkata tindakan Najib Razak berhubung kelulusan pinjaman RM4 bilion kepada SRC bukan untuk kepentingan negara tetapi untuk kepentingan peribadi.

Hakim berkata perkara itu bukan untuk kepentingan negara malah memalukan negara.


Najib ada kepentingan peribadi dalam kabinet

9.49 pagi - Istana Kehakiman: Panel hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Abdul Karim Abdul Kalil memutuskan bahawa panel hakim bersetuju dengan keputusan hakim perbicaraan bahawa Najib Razak selaku perdana menteri ketika itu mempunyai kepentingan peribadi dalam kabinet apabila meluluskan jaminan kerajaan sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC.


Hakim perbicaraan tidak tersalah arah dalam mengarahkan Najib membela diri: Mahkamah Rayuan

9.41 pagi - Istana Kehakiman: Hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Karim Abdul Kalil memutuskan dalam keputusan sebulat suara bahawa hakim perbicaraan tidak melakukan salah arah dalam mengarahkan Najib Razak membela diri terhadap kesemua tujuh pertuduhan dalam perbicaraan rasuah SRC.


Hakim bacakan mukadimah kes SRC

9.39 pagi - Istana Kehakiman: Hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Karim Abdul Jalil membacakan mukadimah kes penyelewengan SRC dihadapi Najib dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Mahkamah Rayuan.


9.35 pagi - Istana Kehakiman: Panel hakim Mahkamah Rayuan sampaikan keputusan.

Panel hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Abdul Karim Abdul Jalil mula menyampaikan keputusan berhubung rayuan Najib bagi membatalkan sabitan bersalah dalam kes SRC.


9.32 pagi - Istana Kehakiman: Shafee perkenalkan pihak pembelaan dan pendakwaan

Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah mula memperkenalkan pihak-pihak dari pasukan pembelaan dan pendakwaan dalam kes rayuan SRC yang difailkan anak guamnya, Najib Razak.


9.29 pagi- Istana Kehakiman: Hakim memasuki Mahkamah Rayuan

Tiga hakim yang dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil memasuki Mahkamah Rayuan untuk menyampaikan keputusan mereka berhubung rayuan Najib Razak untuk membatalkan sabitan dan hukuman dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International.


Shafee muncul melalui zoom

9.22 pagi - Istana Kehakiman: Peguam bela utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah muncul melalui aplikasi Zoom. 


Najib muncul melalui zoom

9.05 pagi - Istana Kehakiman: Najib muncul melalui aplikasi zoom bagi prosiding secara dalam talian berhubung rayuannya dalam kes SRC International.


8.42 pagi - Istana kehakiman: DPP tiba di Istana Kehakiman

Timbalan pendakwa raya V Sithambaram dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul dilihat memasuki Mahkamah Rayuan.

 


8.15 pagi - Pavilion Residences: Polis pengiring Najib dilihat memasuki kawasan kediaman bekas perdana menteri itu di Pavilion Residences, Bukit Bintang.

Bekas presiden Umno itu akan mengikuti prosiding secara dalam talian bagi mengetahui keputusan rayuannya dalam kes SRC.


8.07 pagi - Istana Kehakiman - Wartawan dibenarkan memasuki Istana Kehakiman di Putrajaya untuk membuat liputan keputusan rayuan Najib Razak dalam kes SRC International.


7.52 pagi - Kediaman Najib di Pavilion Residences, Bukit Bintang di Kuala Lumpur dilihat tenang. Tiada tanda-tanda kehadiran penyokong bekas perdana menteri itu.

 


Nasib Najib diketahui pagi ini

7.50 pagi - Berikutan gagal mengemukakan bukti baru semalam, bekas perdana menteri Najib Razak akan mengetahui hari ini sama ada dia berjaya dalam rayuannya untuk membatalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes SRC International.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil akan menyampaikan keputusan melalui prosiding secara zoom hari ini sama ada membenarkan rayuan bekas perdana menteri itu membatalkan hukuman bagi tujuh pertuduhan yang meliputi salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram, atau sebaliknya.

Dua lagi hakim ialah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Prosiding melalui zoom menyaksikan hakim dan pasukan pendakwaan berada di Mahkamah Rayuan manakala Najib dan pasukan peguamnya berada di lokasi lain berikutan pendedahan bahawa bekas perdana menteri itu serta peguam bela menjadi kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

Semalam, panel hakim yang sama menolak permohonan Najib bagi mengemukakan bukti baru untuk dipertimbangkan oleh hakim dalam rayuan bekas perdana menteri itu.

Bekas perdana menteri itu memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas, yang mendapati dia bersalah atas satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan sebagai perdana menteri ketika itu, tiga pertuduhan jenayah pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.

Semasa menjadi perdana menteri, Najib yang juga menteri kewangan, merupakan penasihat emeritus SRC, serta pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Dalam keputusannya, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata kes SRC melibatkan salah guna kedudukan paling teruk oleh pihak berkuasa tertinggi dalam kerajaan.

Bagaimanapun, Nazlan membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, sementara menunggu rayuan Najib di Mahkamah Rayuan selesai.

Perbicaraan selama 15 hari di Mahkamah Rayuan bermula pada 5 April tahun ini, dan berakhir pada 18 Mei.

Peguam, Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan, manakala pihak pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwa raya, V Sithambaram.

Lihat Komen
ADS