Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Harapan bekas perdana menteri Najib Razak untuk mempertahankan kerusi parlimen Pekan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang menemui halangan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bersalahnya dalam kes SRC International.

Walaupun Najib akan terus berkhidmat sebagai ahli parlimen berikutan penangguhan pelaksanaan hukuman oleh mahkamah rayuan, namun dia tidak layak bertanding dalam mana-mana pilihan raya akan datang.

Peguam New Sin Yew berkata, Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan individu yang dijatuhi hukuman penjara setahun atau lebih, atau denda RM2,000 atau lebih, hilang kelayakan sebagai ahli parlimen.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Fasal 4 Artikel berkenaan membolehkan status individu yang hilang kelayakan sebagai ahli parlimen ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Bagaimanapun Fasal 5 menyatakan bahawa Fasal 4 tidak terpakai bagi maksud penamaan, pemilihan atau pelantikan ke parlimen

Oleh itu untuk membolehkan Najib layak menyertai pilihan raya, keputusan bersalah terhadapnya perlu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu.

Tetapi hal itu akan mengambil masa beberapa bulan.

Contohnya dalam kes Liwat II membabitkan Anwar Ibrahim, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan 11 bulan selepas keputusan Mahkamah Rayuan.

Pilihan raya umum dijangka diadakan pada tahun hadapan, walaupun memorandum persefahaman yang rapuh antara kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) menyebut bahawa parlimen tidak boleh dibubarkan sebelum 21 Julai.

Menurut New, satu-satunya pilihan yang Najib ada ialah mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong, yang menurutnya boleh dilakukan sebelum keputusan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.

'Hilang kelayakan bergantung kepada tafsiran'

Najib sebelum ini tidak menolak kemungkinan menyertai PRU dengan mengatakan syarat hilang kelayakan adalah "tertakluk kepada tafsiran".

Pemimpin DAP Lim Kit Siang berulang kali menyatakan kebimbangan bahawa Najib akan membuat kemunculan semula dan menjadi perdana menteri ke-10 selepas pilihan raya umum ke-15.

Lim mengaitkan kemenangan besar BN pada pilihan raya negeri Melaka, yang didakwanya akan mendorong Najib untuk kembali berkuasa.

Selain tidak boleh bertanding dalam pilihan raya umum, Najib juga tidak akan dapat memegang mana-mana jawatan dalam Umno, kerana individu yang didapati bersalah oleh mahkamah dilarang memegang jawatan dalam parti.

Lihat Komen
ADS