Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Memalukan negara' - Hakim tolak penjelasan Najib untuk 'kepentingan negara'
Diterbitkan:  Dec 8, 2021 2:49 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Mahkamah Rayuan tidak dapat menerima penjelasan Najib Razak bahawa semua tindakannya berkaitan SRC International Sdn Bhd adalah demi “kepentingan negara”.

Dalam penghakiman yang dibaca hari ini, panel hakim Mahkamah Rayuan menjelaskan yang Najib terlibat secara aktif dalam memastikan SRC International mendapat pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 2011 dan 2012.

Najib ketika itu adalah menteri kewangan dan perdana menteri. Dia mendapatkan kelulusan kabinet untuk Kementerian Kewangan menjadi penjamin bagi pinjaman itu.

Mahkamah juga yakin Najib mempunyai kawalan penuh terhadap SRC International menerusi peranan perdana menteri sebagai penasihat emeritus terhadap syarikat itu, yang berperanan untuk membuat pelaburan dalam sektor tenaga dan sumber negara.

Sebaik SRC mendapat wang pinjaman itu, kata hakim, Najib menjadi “tidak ambil kisah” terhadap bagaimana ia digunakan dan mengarahkan menteri kewangan kedua ketika itu, Ahmad Husni Hanadzlah untuk tidak “mengambil tahu (keep off)” terhadap syarikat itu.

“Perlakuan perayu ini hanya menunjukkan satu perkara, iaitu sebaik saja dana diberi kepada SRC, di mana perayu ada kawalan penuh, dia bebas untuk menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

“Ini ditunjukkan menerusi aliran RM42 juta daripada SRC ke akaun peribadinya. Ini bukan sesuatu yang boleh dikatakan sebagai dilakukan untuk kepentingan negara.

“Tiada kepentingan negara di sini, hanya memalukan negara,” kata hakim.

Panel hakim adalah Abdul Karim Abdul Jalil, Has Zanah Mehat, and Vazeer Alam Mydin Meera.

Mereka berkata “tidak munasabah” untuk kerajaan menjamin pinjaman terhadap syarikat berkaitan kerajaan yang tiada keupayaan untuk membuat bayaran balik mahupun membayar faedahnya.

“Pastinya untuk ada sejumlah syarikat yang tidak mampu membayar hutang (insolvent), dengan kerajaan terdedah sepenuhnya dengan hutang yang diambil syarikat-syarikat ini, bukan untuk kepentingan negara.

“Ia hanyalah pengurusan wang rakyat yang teruk,” kata mereka.

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menyabitkan Najib untuk tujuh pertuduhan berkaitan aliran RM42 juta daripada SRC International ke akaun peribadinya.

Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Lihat Komen
ADS