Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lesen jualan arak kekal pada negeri, tiada tarik balik
Diterbitkan:  Dec 9, 2021 12:11 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

PARLIMEN l Kerajaan setakat ini tidak berhasrat untuk menarik balik sebarang kelulusan berkaitan pelesenan penjualan minuman keras, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Malah, beliau turut menafikan tohmahan yang menuduhnya telah bertindak membatalkan perkara berkaitan aspek pelesenan tersebut.

Jelas beliau, dasar sedia ada telah menggariskan bahawa penjualan minimum keras secara runcit di premis perlu mempunyai lesen di bawah Akta Eksais 1976 dan sebarang pelesenan penjualannya perlu mendapat kelulusan Lembaga Pelesenan selaras dengan Seksyen 35, Akta Eksais 1976.

Aspek pelesenan penjualan minuman keras itu adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pelesenan yang dilantik oleh perwakilan kuasa Menteri Kewangan kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri melalui perintah yang diwartakan pada 1977, kata beliau.

"Sehubungan itu, dakwaan atau tohmahan bahawa Menteri Kewangan telah membatalkan perwakilan kuasa tersebut adalah tidak benar. Terdapat kekeliruan dalam pelaksanan dan penguatkuasaan lesen penjualan minuman keras ini di peringkat negeri.

"Saya ingin memberi jaminan sekali lagi bahawa perwakilan kuasa melalui perintah yang diwartakan pada 1977 masih kekal.

“Saya juga telah mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan kekeliruan ini tidak berulang dan pelesenan penjualan minuman keras kekal di bawah bidang kuasa Lembaga Pelesenan," katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Tony Pua Kiam Wee (PH-Damansara) mengenai alasan Kementerian Kewangan tidak membatalkan secara langsung perintah pelesenan penjualan minum keras supaya tiada kuasa perlu diturunkan kepada kerajaan negeri.

Pada Selasa lepas, Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi catatan di laman Facebook beliau, memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan telah mengarahkan JKDM untuk membatalkan dasar baharu pelesenan arak untuk restoran dan kedai kopi.

Menurut Tengku Zafrul, tindakan sewajarnya akan diambil bagi menyelesaikan perkara tersebut selewat-lewatnya menjelang hujung tahun ini, 31 Disember 2021.

"Oleh itu, sebarang isu berhubung pelesenan atau pengecualian daripada pelesenan adalah tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri sepenuhnya," kata beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS