mk-logo
Berita
‘Mahkamah Rayuan perlu jelaskan jika sabitan bersalah Najib ditangguhkan’
Diterbitkan:  Dec 9, 2021 6:16 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Mahkamah Rayuan perlu mengesahkan sama ada ia membenarkan penangguhan sabitan bersalah Najib Razak berhubung kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta, ataupun tidak, kata peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Menurutnya, penjelasan berkenaan diperlukan kerana sebarang perintah penangguhan mengenai sabitan itu boleh melayakkan bekas perdana menteri tersebut menjadi sebagai calon bagi mana-mana kerusi, sekiranya pilih raya diadakan semasa rayuan diteruskan di Mahkamah Persekutuan.

Semalam, adalah dilaporkan bahawa susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan Najib untuk membatalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC itu, panel tiga hakim berkenaan juga membenarkan permohonan peguam pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Ketika dihubungi petang ini, timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul mengesahkan bahawa perintah penangguhan itu adalah ke atas sabitan dan hukuman, sementara menunggu keputusan rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan.

Dalam kenyataan akhbar hari ini, Haniff berkata penjelasan daripada Mahkamah Rayuan adalah diperlukan berikutan laporan media semalam tidak jelas sama ada perintah penangguhan itu hanya meliputi hukuman atau turut merangkumi sabitan atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

“Tambahan pula, perlu dihargai bahawa perintah penangguhan hukuman dan/atau perintah penangguhan jika disabitkan mempunyai impak dan kesan yang berbeza di bawah pelbagai peruntukan perlembagaan dan undang-undang terhadap perayu (Najib)... semua ini perlu diketahui dan difahami dengan tepat dan betul oleh rakyat untuk mengelakkan kekeliruan yang berleluasa.

“Justeru, saya amat berterima kasih sekiranya pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan dapat mengeluarkan penjelasan berhubung perkara ini secepat mungkin,” kata Haniff.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, peguam itu menjelaskan bahawa penjelasan tersebut penting kerana penangguhan terhadap keputusan bersalah boleh dikatakan masih melayakkan Najib dinamakan sebagai calon bagi mana-mana kerusi pilihan raya umum yang boleh diadakan secara hipotesis sementara rayuan masih dilaksanakan di Mahkamah Persekutuan.

Haniff berkata ini kerana Perkara 48(5) Perlembagaan Persekutuan membenarkan perayu, secara teori, masih layak untuk dinamakan sebagai calon dalam mana-mana pilihan raya umum yang mungkin diadakan sementara penangguhan sabitan masih berkuat kuasa.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa individu yang dijatuhkan hukuman penjara setahun atau lebih, atau denda RM2,000 atau lebih, hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen.

Najib, yang adalah ahli parlimen Pekan, dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau tambahan lima tahun lagi penjara jika gagal membayaranya.

Perkara 48(4) membenarkan kehilangan kelayakan ahli parlimen semasa ditangguhkan sementara menunggu rayuannya dibicarakan.

Walau bagaimanapun, Fasal 5 menyatakan bahawa Fasal 4 tidak terpakai untuk tujuan penamaan, pemilihan atau pelantikan mana-mana orang ke mana-mana satu Majlis Parlimen.

Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil menolak rayuan Najib untuk membatalkan sabitannya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tujuh pertuduhan yang dikaitkan dengan dana SRC.

SRC, sebelum ini adalah anak syarikat 1MDB yang kemudiannya menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Selain sebagai bekas perdana menteri, Najib juga pernah menjadi menteri kewangan, penasihat emeritus SRC, dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS