mk-logo
Berita
Penjarakan fizikal terabai di sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga M'sia

Kurang dari dua minggu selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan amaran mengenai ancaman Omicron di negara ini, keadaan yang ironi dapat dilihat pada sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur petang tadi.

Omicron merupakan varian baru Covid-19 yang didapati sangat mudah merebak. Justeru KKM menggesa orang ramai agar mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk menyekat jangkitan wabak tersebut.

Walaupun karnival empat hari itu disertai ramai anggota kerajaan serta agensi penguat kuasa undang-undang, SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seolah-olah diabaikan apabila lokasi itu dipenuhi oleh ribuan orang awam.

Pelanggaran SOP yang paling ketara ialah kegagalan menjaga penjarakan fizikal satu meter yang ditetapkan, malah ia kelihatan hampir tidak berlaku langsung terutamanya di kawasan lobi pusat konvensyen terbabit serta di dalam lokasi utama acara.

Pasukan Malaysiakini yang membuat liputan majlis pelancaran oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada jam 2.30 petang tadi mendapati hanya sedikit atau tiada usaha untuk mengehadkan bilangan orang awam yang boleh memasuki kawasan pameran.

Ruang tersebut terletak di dalam kawasan tertutup.

Suasana itu berlaku walaupun pusat pemeriksaan diletakkan di pintu masuk pusat konvensyen dengan pegawai bertugas menyemak status pengunjung dan hanya pelawat yang mendaftar dalam talian dibenarkan masuk.

Ada tawaran diskaun saman

Di lobi menuju ke dewan pameran, ratusan orang kelihatan bersesak-sesak sambil beratur untuk masuk ke lokasi sambutan.

Keadaannya yang tidak jauh berbeza dapat dilihat di bahagian dalam kerana pengunjung bergerak di sekitar dan di dalam gerai pameran.

Malah sesetengah daripada mereka turut membawa bersama kanak-kanak.

Satu lagi pelanggaran yang boleh dilihat dalam pemerhatian Malaysiakini ialah pematuhan cara memakai pelitup muka yang betul apabila ramai yang hanya meletakkan alat itu di bawah dagu, sama ada untuk menarik nafas, semasa bercakap, atau ketika makan.

Penganjur kedengaran mengeluarkan peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP, tetapi ia seolah-olah tidak diendahkan.

Karnival itu dianjurkan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) yang merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sepanjang empat hari karnival itu berlangsung, ada beberapa program dirancang untuk menarik penyertaan orang ramai, termasuk pameran kerja.

Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan juga menawarkan diskaun besar-besaran - setinggi 80 peratus - untuk pesalah trafik yang membayar saman mereka dalam tempoh berkenaan.

Sementara itu Pengarah Eeksekutif Sepadu Wan Azilawati Wan Mahmood ketika dihubungi Malaysiakini mempertahankan jawatankuasa penganjur dengan berkata mereka telah menggariskan satu set SOP yang ketat berdasarkan arahan MKN.

Menurutnya, isu pematuhan individu terhadap SOP menjadi cabaran utama yang dihadapi oleh setiap penganjur program.

“Penganjur juga memastikan penguatkuasaan dijalankan dengan melibatkan agensi keselamatan termasuk polis, Rela, Angkatan Pertahanan Awam dan pegawai jabatan kesihatan.

"Penganjur akan terus meningkatkan pemantauan kerana kami menjangkakan lebih ramai pengunjung hujung minggu ini," katanya melalui mesej teks.

Malaysiakini turut cuba mendapatkan maklum balas daripada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang hadir pada majlis pelancaran acara itu hari ini.

Dia bagaimanapun enggan melayan pertanyaan wartawan apabila didekati ketika berjalan keluar dari tempat tersebut.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS