Setiap kawasan Parlimen di Semenanjung dan Sabah menerima 'bonus' hujung tahun sebanyak RM3 juta untuk dibelanjakan dalam masa enam minggu dan peruntukan itu hanyalah untuk kontraktor bumiputera.

Kontraktor kelas F ini telah diberi garispanduan mengenai bagaimana hendak membelanjakan tambahan RM600 juta yang diperuntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dalam tempoh tersebut.

Pada 13 November, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan peruntukan itu sebagai tambahan kepada RM1.5 bilion bagi melaksanakan projek kecil luar bandar.

Dokumen tiga muka surat itu disediakan oleh Jabatan Kontrak dan ukur Bahan, Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertajuk 'Kertas Konsep Tatacara Pelaksanaan Program Projek Luar Bandar Tahun 2006'.

Menurut dokumen tersebut, JKR telah ditugaskan untuk memastikan pelaksanaakn program tersebut yang mesti dijalan dan disiapkan dalam tahun 2006.

Sumber-sumber mendakwa, garispanduan tersebut telah diedarkan kepada sesetengah kontraktor selepas pengumuman perdana menteri tempoh hari.

Menurut dokumen itu, kecuali Sarawak, kesemua kawasa Parlimen di Semenanjung dan Sabah, yang berjumlah 191, masing-masing dianggarkan menerima agihan RM3 juta di bawah program tersebut.

Setiap projek mesti bernilai tidak melebihi RM200,000 dan disiapkan dalam tempoh dua bulan, kata dokumen itu lagi.

Jenis projek terbabit, antaranya ialah menyelenggara jalan, membina jalan/dataran kejat, membaiki dan mengecat bangunan kerajaan, termasuk kuarters, masjid, dewan, sekolah, balai polis, membina dan membaiki parit dan longkang, memasang paip dan memasang pandawaian elektrik dalam bangunan.

Kontraktor terbabit tidak dibenarkan menerima lebih daripada satu projek. Jika kesemua RM600 juta dibelanjakan, maka sekurang-kurang 15 kontraktor dari setiap kawasan Parlimen terbabit, berpeluang menerima projek tersebut, atau 2,865 kontraktor semuanya.

Bayaran Januari

Menurut dokumen itu lagi, jurutera daerah dan pegawai daerah hendaklah mengenalpasti dan menyetujui kerja-kerja kecil dan pembaikan yang tidak mengubah struktur asal untuk dilaksanakan melalui program ini.

Manakala kontraktor yang berjaya dikehendaki memulakan kerja-kerja dalam tempoh tiga hari selepas mendapat projek. Mereka dijangka menerima bayaran pada akhir bulan Januari 2007, iaitu selepas projek disiapkan.

Isnin lalu, Pengerusi NGO DAP, Ronnie Liu membuat laporan polis, mendakwa wang rakyat digunakan untuk membiayai program tersebut, yang akhirnya 'jatuh' ke tangan pemimpin Umno di peringkat bahagian.

Beliau mendakwa, peruntukan tersebut tidak diluluskan sama ada oleh Parlimen atau Kabinet. Sebaliknya, Liu mendakwa, ia diluluskan oleh pemimpin parti dan merupakan 'wang politik' bertujuan untuk meningkatkan sokongan.

Laporan Liu juga dibuat berasarkan kepada surat Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed yang mengarahkan JKR supaya mempercepatkan pelaksanaan program tersebut.

Menurutnya, jumlah 191 kawasan Parlimen yang menerima agihan peruntukan tersebut, adalah sama dengan jumlah bahagian Umno di Semenanjung dan Sabah. Terdapat 222 kawasan Parlimen di Malaysia dan 31 daripadanya adalah di Sarawak.

Majoriti pemimpin Umno bahagian merupakan pemegang lesen kontraktor kelas F yang khusus diberikan kepada bumiputera. Berita asal