Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jutaan Ringgit dibelanjakan untuk pengimbas kastam bermasalah

Pemasangan unit pengimbas sinar-X kargo yang baru bernilai RM242.24 juta bagi pemeriksaan Kastam bermula pada September lalu selepas kontrak perolehan diberikan pada Januari 2020.

Walaupun 20 mesin itu sepatutnya menambah baik proses pemeriksaan, semakan mendapati pengimbas yang dipasang setakat ini tidak berfungsi dengan baik.

Sehingga 20 Nov, Malaysiakini dimaklumkan sekurang-kurangnya sembilan unit pengimbas telah dipasang di beberapa pelabuhan dan pusat pemeriksaan Kastam.

Difahamkan, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor merupakan dua lokasi pertama yang memperoleh mesin pengimbas baru, pada akhir September lalu.

Pada Julai tahun lepas, Malaysiakini melaporkan bahawa PTS Resources Sdn Bhd memenangi kontrak untuk membekalkan 13 pengimbas di semenanjung, dianggarkan bernilai RM147.04 juta, manakala Infomina Sdn Bhd dianugerahkan kontrak untuk membekalkan tujuh pengimbas di Sabah dan Sarawak, dianggarkan bernilai RM95.2 juta.

Kedua-dua pembekal memperoleh unit pengimbas daripada CGN Begood Technology Co Ltd dan Nutech Co Ltd yang berpangkalan di China.

Dua laporan dalaman daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang dilihat Malaysiakini menyatakan bahawa prestasi unit pengimbas terbabit "tidak memuaskan" selepas menjalankan ujian selama sebulan.

Bagaimanapun, proses pemasangan masih berjalan dan beberapa mesin telah mendapat kelulusan daripada kerajaan.

Berdasarkan data masa henti dalam laporannya, keupayaan untuk mengimbas adalah kira-kira 53 peratus, yang jauh lebih rendah daripada keperluan "95 peratus ketersediaan operasi" yang dinyatakan dalam dokumen tender.

Menurut laporan daripada PTP, hanya 1,093 imej sempurna direkodkan daripada 2,053 imbasan.

Di BSI, pengiraan adalah berdasarkan bilangan lori dan bilangan imbasan.

Sebanyak 29,743 lori telah melalui pengimbas itu, tetapi hanya 15,913 imej direkodkan atau 53.5 peratus daripada kadar imbasan.

Bagaimanapun, data di atas tidak termasuk 2,716 imej yang gagal.

Jika pengiraan berdasarkan bilangan imej sempurna yang dihasilkan, kadar pengimbasan hanya 44.3 peratus.

Laporan BSI juga mendedahkan bahawa mesin kadangkala tidak dapat melakukan imbasan walaupun kenderaan melalui pengimbas pada kelajuan terkawal.

Lori bawa sayur disenaraikan bawa simen

Pada 23 Sept, Jabatan Kastam Johor mengumumkan bahawa "pengimbas kargo berteknologi tinggi" yang baru dilengkapi dengan spesifikasi Kecerdasan Buatan (AI) dan Pertubuhan Kastam Dunia (WCO).

Jelasnya, pengimbas akan meningkatkan hasil negara dengan mengekang aktiviti penyeludupan dan pengelakkan cukai.

Selain kadar pengimbasan yang lemah, pelbagai kegagalan dan kepincangan lain turut dikesan semasa ujian dijalankan, seperti kegagalan sistem perisian, maklumat yang salah, kerosakan kamera dan ketidakupayaan untuk berfungsi pada waktu malam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa kamera Pengecaman Kod Kontena (CCR) tidak dapat menjalankan imbasan ketepatan kenderaan dan data imej yang salah telah dihantar ke sistem.

Dalam satu kes, sebuah lori dengan muatan sayur-sayuran dikenal pasti mengangkut simen.

Dalam keadaan lain, kontena kosong dikesan mempunyai muatan. Tambahan pula, nombor plat tidak jelas apabila hujan atau pada waktu malam.

Disebabkan itu, pegawai yang bertugas perlu memasukkan 90 peratus nombor plat secara manual.

Selain itu, laporan BSI berkata pengimbas itu beroperasi dengan menggunakan enjin diesel dan penjana elektrik secara hibrid.

Oleh itu, kakitangan Kastam perlu menyemak dan mengisi semula diesel berulang kali bagi mengelakkan kerosakan kerana generator tidak akan berhenti beroperasi walaupun kehabisan minyak.

Menyedari bahawa ini menimbulkan masalah besar, terutamanya ketika hujan, laporan itu berkata langkah mengendalikan generator adalah "tidak praktikal dan membebankan".

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk komen dan penjelasan lanjut mengenai isu ini.

Portal ini juga telah menghubungi PTS Resources untuk mendapatkan respon. 

[Baca laporan penuh]

Lihat Komen
ADS