PAS Terengganu mendakwa, Ketua Umno bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar cuba menutup kelemahannya sendiri apabila menuduh PAS membawa 'pengundi hantu' ke kawasan tersebut.

Setiausaha Perhubungan PAS negeri itu, Yahya Ali berkata, Abdul Rahman sedar beliau sudah ditolak oleh pengundi di kawasan parlimen Marang, dan kerana itu "sengaja mereka-reka cerita untuk menyelamatkan dirinya".

"Abdul Rahman berada dalam keadaan yang sangat terdesak dan kerana itu beliau mendakwa PAS membawa masuk 'pengundi hantu' ke Marang.

"Abdul Rahman bimbangkan pengaruh Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana kedudukan beliau sebagai ahli Parlimen dan Timbalan Menteri Sumber Manusia akan tergugat apabila pengundi semakin menerima Presiden PAS itu," katanya kepada malaysiakini .

Yahya yang juga Timbalan Ketua PAS Kawasan Marang berkata, PAS tidak membawa pengundi hantu ke Marang.

Dalam sidang akbar di bangunan Parlimen semalam, Abdul Rahman mendakwa pihaknya mengesan 541 'pengundi hantu' didaftarkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.

Sehubungan itu telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di Kuala Terengganu pada 6 November lalu.

Kerusi Haji Hadi

Rhu Rendang merupakan satu daripada empat kerusi DUN dalam parlimen Marang, yang diwakili Abdul Hadi.

September lalu, Abdul Rahman yang juga Ketua Umno bahagian Marang mendakwa terdapat 310 'pengundi hantu' didaftar di kawasan tersebut.

Menurut Yahaya lagi, pengaruh PAS dan Umno di Marang adalah seimbang dan hanya pengundi atas pagar yang menentukan kemenangan seseorang calon.

Dalam pilihanraya umum lalu, Abdul Rahman menewaskan Abdul Hadi dengan majoriti 163 undi bagi kerusi Parlimen Marang. Bagaimanapun, Abdul Hadi berjaya mengekalkan kerusi Rhu Rendang.

Menurut Yahaya, ini bukan pertamakali Abdul Rahman membuat kenyataan menuduh PAS membawa masuk 'pengundi hantu' ke Marang untuk memenangkan Abdul Hadi dalam pilihanraya.

Katanya, sudah beberapa kali Ketua Umno bahagian Marang itu membuat dakwaan tersebut untuk memburuk-burukkan PAS dan Abdul Hadi.

"PAS tidak mempunyai kemampuan untuk membawa pengundi luar ke Marang, sebaliknya Umno yang mempunyai jentera kerajaan dan dana kewangan yang banyak," ujarnya.

Pertambahan mendadak

Katanya, ini terbukti dalam pilihanraya umum 2004 apabila Umno mencatatkan peningkatan di luar jangkauan di kalangan pengundi baru.

Pada 1999, katanya, Umno Terengganu mendapat 120,000 undi tetapi meningkat mendadak kepada 220,000 pada 2004 pertambahan sebanyak 100,000 undi.

"Sesiapapun tak akan percaya Umno dapat menambah 100,000 pengundi baru dalam tempoh empat tahun kerana kajian PAS mendapati bukan semua pemilih baru mengundi Umno," katanya lagi.

Oleh itu, kata Yahaya, pihaknya percaya Umno membawa masuk pengundi hantu ke negeri tersebut menjelang pilihanraya umum lalu.

Berdasarkan rekod itu, katanya, adalah yang tidak memeranjatkan jika perkara yang sama berlaku menjelang pilihanraya umum yang akan datang.