Ahli Parlimen BN terima surat amaran
Semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menerima satu surat amaran daripada Ketua Whip hari ini, yang mengandungi arahan supaya tidak meninggalkan Dewan Rakyat sehingga tamat sesi persidangan setiap hari.
Semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menerima satu surat amaran daripada Ketua Whip hari ini, yang mengandungi arahan supaya tidak meninggalkan Dewan Rakyat sehingga tamat sesi persidangan setiap hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz berkata, Ketua Whip BN Datuk Seri Najib Tun Razak yang menandatangani surat itu, memaklumkan keputusan tersebut dalam mesyuarat kabinet semalam.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, surat itu dikeluarkan kerana kabinet berpendapat setiap ahli Parlimen perlu berada di dalam dewan hingga persidangan tamat setiap hari.
"Pada masa-masa lalu, semasa Dewan bersidang sehingga hari Jumaat, ahli Parlimen merungut mahu balik awal, (kerana) pada hari Jumaat hendak menguruskan perkara-perkara berbangkit hujung minggu. Jadi kita tukar hari persidangan.
"Sekarang apa yang berlaku ialah mereka balik pada hari Khamis sebelum berakhir persidangan hari itu... menyebabkan pembangkang mengambil kesempatan bawa usul tidak cukup korum," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen semalam.
Mohamad Nazri berkata pada kebiasaannya kebanyakkan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak akan balik selepas sesi persidangan selesai pada sebelah pagi hari Khamis.
"Ini perlu dihentikan, mereka perlu patuhi arahan ini. Whip BN amat serius tentang perkara ini, dan semua anggota parlimen tidak boleh memandang ringan tentangnya," katanya.
Keputusan mengeluarkan surat amaran itu dibuat berikutan kejadian Persidangan Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan setengah jam lebih awal pada 16 November lalu kerana tidak cukup korum.
Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) yang menyedari ketiadaan ahli Parlimen BN di dalam dewan, telah membawa peraturan mesyuarat bagi memanggil ahli dewan memasuki persidangan yang sedang berlangsung.
Tidak cukup korum
Selepas dua kali loceng dibunyikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Datuk Yusof Yacob terpaksa menamatkan persidangan kerana masalah korum.
Isnin lalu, Najib mengadakan pertemuan lebih 45 minit dengan 20 setiausaha parlimen mengenai perkara itu.
Sementara itu Mohamad Nazri berkata Whip juga tidak senang hati dengan ketidakhadiran setiausaha Parlimen kementerian di Dewan, sepanjang persidangan berlangsung.
"Walau apa keadaan sekalipun, mereka perlu berada di sini, walaupun semasa isu membabitkan kementerian berkenaan tidak dibangkitkan dalam persidangan Dewan. Ia adalah portfolio mereka untuk berada di parlimen," katanya.
Mohamad Nazri berkata mesyuarat kabinet hari ini juga memutuskan bahawa setiausaha Parlimen tidak lagi perlu menghadiri mesyuarat pasca-kabinet kementerian masing-masing semasa sesi persidangan Parlimen.
Beliau berkata semua setiausaha Parlimen perlu mengambil nasihat Whip secara serius dan mematuhinya.
"Ada ramai lagi yang bersedia mengisi tempat mereka. Tidak seharusnya ada aduan. Jika mereka tidak dapat mamatuhinya, mereka seharusnya beritahu sahaja kepada Perdana Menteri dan berhenti," katanya.

