Paling Popular
Terkini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
RUU antigangguan seksual dibentang untuk bacaan pertama

PARLIMEN | Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021, antara lain bertujuan menubuhkan tribunal untuk mengendali aduan gangguan seksual, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Mengikut rang undang-undang itu, Tribunal Antigangguan Seksual menghendaki keanggotaan melibatkan presiden dan timbalan presiden yang dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan kehakiman serta perundangan.

Rang undang-undang itu memperuntuk bidang kuasa tribunal untuk mendengar dan menentukan aduan gangguan seksual yang dibuat oleh mana-mana individu.

Tribunal juga berkuasa memerintahkan responden mengeluarkan suatu pernyataan permohonan maaf kepada pengadu dalam apa-apa cara sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.

Selain itu, tribunal boleh mengeluarkan suatu perintah bagi responden untuk membayar apa-apa pampasan atau ganti rugi tidak melebihi RM250,000 bagi apa-apa kehilangan atau kerosakan yang ditanggung oleh mangsa gangguan seksual.

Siti Zailah

Malah tribunal juga boleh mengeluarkan suatu perintah bagi pihak-pihak menghadiri apa-apa program sebagaimana yang difikirkan perlu oleh tribunal.

Bacaan kali pertama rang undang-undang itu dibentang oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff.

Pada sidang media di bangunan Parlimen selepas itu, Siti Zailah berkata antara elemen penting yang diperkenal dalam rang undang-undang tersebut ialah pemakaian undang-undang yang lebih meluas tanpa mengira lokasi kesalahan berlaku iaitu sama ada di tempat kerja atau tempat lain dan tebus rugi kepada mangsa melalui pemberian remedi bersesuaian.

Dia berkata rang undang-undang ini merupakan manifestasi penting bagi menunjukkan kesalahan gangguan seksual merupakan satu pelanggaran hak asasi manusia dan bentuk keganasan berasaskan gender.

“Saya berharap rang undang-undang ini dapat meningkatkan kesedaran semua pihak tentang gangguan seksual dan tidak menormalisasikan perkara itu sekali gus menyumbang kepada persekitaran selamat kepada masyarakat khususnya wanita,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin pula membentangkan Rang Undang-Undang Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama.

Rang undang-undang itu antara lain bertujuan menggantikan subseksyen 5(1) Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 dengan cadangan mahkamah diberi kuasa membuat perintah kehadiran wajib terhadap pesalah yang disabitkan kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun.

-Bernama

Lihat Komen