Kerajaan negeri Pulau Pinang memutuskan satu mekanisme dan prosedur baru bagi mengendalikan kes-kes yang melibatkan rumah ibadat, khususnya bagi bukan Islam.

Antara lain, mekanisme dan prosidur baru itu tindak membenarkan pihak berkuasa tempatan merobohkan rumah ibadat sewenang-wenangnya walaupun ia dibina secara haram.

Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, walaupun telah wujud undang-undang berhubung pembinaan bangunan tanpa kebenaran, tetapi sekiranya ia melibatkan rumah ibadat, beberapa langkah perlu diambil dan diteliti sebelum tindakan meroboh dilakukan.

"Majlis perbandaran boleh memberi notis kepada bangunan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran mengikut prosedur, tetapi sebelum mengambil tindakan meroboh, setiap kes perlu dirujuk kepada jawatankuasa dalam majlis perbandaran terlebih dahulu dan diputuskan oleh Yang Dipertua Majlis," katanya.

Koh berkata jawatankuasa yang dianggotai Anggota Majlis Perbandaran yang diwakili semua parti komponen perlu meneliti latar belakang rumah ibadat berkenaan dan mengambil kira semua aspek supaya keputusan yang diambil tidak menjejaskan mana-mana pihak.

Menurut laporan Bernama, sekiranya keputusan tidak dapat dicapai di peringkat jawatankuasa itu, perkara itu hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Penyelaras Rumah Ibadat Bukan Islam yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri.

"Ia bagi membolehkan kes itu diteliti dan diselaraskan sekali lagi dengan mengambil kira pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh Majlis Perbandaran," katanya.

Koh berkata isu berkaitan rumah ibadat adalah sensitif dan ia perlu ditangani dengan baik.

Beliau berkata prosedur tambahan itu dibuat selepas isu meroboh Tokong Tou Mu Kung di Bukit Mertajam yang dibina tanpa kebenaran oleh Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) baru-baru ini mencetuskan kontroversi.

Ketua Menteri juga mengingatkan semua jawatankuasa rumah ibadat di Pulau Pinang jangan membina bangunan baru atau struktur tambahan tanpa mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang atau MPSP.

Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata pembinaan rumah ibadat yang baru atau struktur tambahan perlu mengikut peraturan MPPP dan MPSP bagi mengelak timbulnya kesulitan berhubung perundangan pada masa depan.