Prof Safar: Lihat aspek positif penggabungan Utusan-NSTP
Penggabungan antara dua "gergasi" media negara tidak akan memberi kesan besar kepada kebebasan media di negara ini, kata pensyarah media dan komuniksi Universirti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Safar Hashim.
Menurutnya, ini kerana kedua-dua kumpulan itu dikuasai oleh pemilik yang sama, iaitu pihak-pihak yang dilihat rapat dengan parti pemerintah, Umno.
"Jika penggabungan ini betul-betul terjadi, pada pendapat saya, ia tidak akan mengubah dasar editorial akhbar-akhbar berkenaan. Ia juga tidak akan mengubah lanskap kebebasan media negara ini, pendirian dan halatuju Utusan Malaysia , Berita Harian atau akhbar NST akan tetap sama seperti sekarang," jelasnya kepada malaysiakini.
Dr Safar berkata, perubahan besar hanya akan berlaku seandainya salah sebuah akhbar berbahasa Melayu yang terbabit dalam penggabungan itu, ditutup.
"Kalau digabungkan atau ditutup salah satu akhbar berkenaan, barulah kita akan kekurangan media untuk bersuara. Tapi saya tidak nampak sebarang tanda atau alasan mengapa salah satu akhbar itu perlu ditutup," ujarnya.
Pensyarah Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi itu mengulas cadangan penggabungan kumpulan Utusan Melayu dengan New Straits Times Press (NSTP) yang sedang heboh diperkatakan sekarang.
Ketika ini, pihak-pihak yang dikaitkan dengan Umno menguasai kira-kira 50 peratus ekuiti kumpulan Utusan Melayu manakala kumpulan NSTP pula di bawah Media Prima Sdn Bhd, entitit yang juga dikuasai oleh parti pemerintah itu.
Kebebasan media
Kumpulan Utusan menerbitkan akhbar harian
Utusan Malaysia
dan tabloid
Kosmo
, serta akhbar mingguan
Mingguan Malaysia
.
NSTP pula menerbitkan akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times dan Malay Mail serta akhbar berbahasa Melayu Berita Harian dan Harian Metro .
Dr Safar menambah, kesan besar penggabungan ini, jika ia terlaksana, lebih kepada aspek perniagaan atau komersilnya.
"Kemungkinan besar penggabungan sebenarnya akan berlaku di peringkat perniagaan, untuk mengukuhkan bisnes. Kita sedia maklum perniagaan akhbar negara ini khusunya yang berbahasa Melayu menghadapi masalah dari segi pendapatan iklan di samping kos penerbitan yang semakin tinggi," katanya.
Bagaimanapun beliau tetap berharap, andainya penggabungan ini terlaksana, ia tidak menjejaskan kebebasan media yang sedia ada di negara ini.
"Kalau penggabungan dibuat, biarlah ia melahirkan sesuatu yang lebih baik kepada kebebasan media, membuka lebih ruang untuk bersuara. Kita perlu melihat dari sudut positif penggabungan ini, mana tahu kalau syarikat makin kukuh, akhbar-akhbar baru dapat diterbitkan," tambahnya.
Sementara itu, seorang wartawan veteran pula berpendapat, aspek politik penggabungan ini akan mengukuhkan lagi cengkaman pemimpin yang memimpin kerajaan sekarang ke atas media negara ini.
"Kita perlu lihat pada latarbelakang politik sekarang dan sejarah media negara ini. Kumpulan Utusan Melayu hanya dikuasai oleh pihak yang rapat dengan Umno manakala NSTP dikuasai oleh Realmild Sdn Bhd menerusi Media Prima.
"Realmild pula diterajui oleh pemegang amanah yang dilantik oleh ketua parti pemerintah. Jadi jika penggabungann berlaku, tentulah faedah paling besar akan dinikmati ketua parti berkenaan," jelasnya yang enggan namanya disebut.