Penggabungan Utusan-NSTP dijangka diumum Isnin ini
Urusniaga saham Kumpulan Utusan Melayu dan New Straits Times Press (NSTP) digantung hari ini, sekaligus menguatkan lagi spekulasi bahawa pengumuman mengenai cadangan penggabungan kedua-dua kumpulan media itu, Isnin ini.
Notis mengenai penggantungan urusniaga saham kedua-dua syarikat media yang dikuasai oleh Umno itu disiarkan dalam lamanweb Bursa Malaysia pagi ini
Utusan Malaysia dan NSTP mengumumkan , Bursa Malaysia telah meluluskan permohonan kedua-dua syarikat itu menggantung urusniaga saham masing-masing menjelang satu pengumuman yang akan dibuat pada 4 Disember ini.
Sehingga hari ini, sebelum urusniaga digantung pada jam 9.56 pagi, saham utusan jatuh 9 sen kepada RM1.83 manakala NSTP pula diurusniaga pada harga RM2.94.
Manakala seorang jurucakap Media Prima mengesahkan kepada malaysiakini bahawa satu sidang akhbar akan diadakan jam 5 petang Isnin ini bertempat di Royale Bintang Hotel, di Damansara.
Sementara jurucakap pula ketika dihubungi malaysiakini juga mengesahkan bahawa Media Prima akan mengatur sidang akhbar berhubung perkara tersebut.
Berita mengenai penggabungan itu disiarkan awal minggu ini dan dilaporkan bahawa dua syarikat tersenarai itu akan diletakkan di bawah satu entiti.
Kuasai media
Pada masa ini, Umno menguasai kira-kira 50 peratus kepentingan ekuiti dalam Utusan Melayu , yang menerbitkan akhbar harian bahasa Melayu Utusan Malaysia dan Kosmo .
Bagaimanapun, penguasaan parti itu ke atas NSTP adalah melalui syarikat nominee seperti Media Prima, yang memiliki 43 peratus pegangan dalam NSTP.
NSTP menerbitkan akhbar harian bahasa Inggeris New Straits Time s dan Malay Mail serta akhbar harian bahasa Melayu Berita Harian dan Harian Metro .
Penggabungan tersebut juga mungkin membuka peluang kepada parti pemerintah untuk menguasai secara langsung kesemua stesen TV swasta di negara ini TV3, ntv7, 8TV dan Channel 9 yang kini dimiliki oleh Media Prima.
Berita mengenai cadangan penggabungan antara NSTP dengan Utusan muncul ketika berlaku satu lagi perkembangan terbaru mengenai media pengambilalihan akhbar bahasa Cina Nanyang Siang Pau dan China Press oleh jutawan balak dan media, Tan Sri Tiong Hiew King bulan lalu.
Tiong juga menguasai akhbar bahasa Cina Sin Chew Daily dan Guangming Daily .