Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan dua pegawai tinggi Rufaqa Corporation Sdn Bhd yang dikaitkan dengan usaha menghidupkan semula Al-Arqam, di pejabat syarikat itu di Country Homes, Rawang pagi ini.

Kedua-duanya ialah Abu Zarim Tahrim (kiri) yang merupakan ahli lembaga pengarah Rufaqa yang juga pegawai khas kepada bekas pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad serta Setiausaha syarikat tersebut, Zulkifli Awang Kechik (kanan).

Mereka ditahan kira-kira jam 11.20 pagi selepas selesai mengadakan sidang akhbar berhubung dakwaan wujudnya usaha menghidupkan semula Al-Arqam yang turut dibabitkan dengan Rufaqa.

Syarikat itu dipengerusikan oleh Ashaari yang menguasai 75 peratus ekuiti syarikat itu.

Sidang akhbar itu bermula kira-kira jam 10.40 pagi dan berlangsung kira-kira setengah jam di tingkat satu pejabat Rufaqa di Jalan Desa 9/6, Bandar Country Homes, Rawang, Selangor.

Sidang akhbar

Ahad lalu, Jais telah menahan empat orang 'syeikh' di sebuah rumah kedai di Shah Alam kerana didakwa terbabit dalam usaha tersebut.

Selepas selesai sidang akhbar tersebut, kira-kira lima pegawai penguatkuasa Jais yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Penguatkuasa jabatan itu, Shahizan Ahmad, naik ke tingkat satu untuk menemui Zulkifli dan Abu Zarim.

Seorang daripadanya dilihat membaca tuduhan terhadap Zulkifli dan Abu Zarim di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor, sebelum dibawa dari situ dengan menaiki kenderaan Jais.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 12C dan 13 enakmen, itu, cuba melanggar fatwa dan cuba menghidupkan ajaran Al-Arqam.

Sebelum itu, dalam sidang akhbar berkenaan, Abu Zarim dan Zulkifli membaca kenyataan masing-masing berhubung dakwaan bahawa Rufaqa terbabit dalam usaha untuk menghidupkan semula Al-Arqam.

Dalam kenyataannya itu, Zulkifli berkata, menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa Rufaqa hanya terlibat dalam bidang perniagaan.

Manakala Abu Zarim pula mendakwa, dua bekas pemimpin Al-Arqam yang hasad dengki terhadapnya, telah mencetak VCD dan mengedarkannya ke masjid dan surau di Selangor serta kepada orang awam, untuk merosakkan nama Rufaqa.