Konsert rock: Umno Kelantan dakwa PAS terdesak
Pemuda Umno Kelantan menyifatkan kerajaan PAS Kelantan tidak konsisten dalam menegakkan syiar Islam hingga sanggup mengundang artis rock dan barat mengadakan konsert di negeri itu.
Pemuda Umno Kelantan menyifatkan kerajaan PAS Kelantan tidak konsisten dalam menegakkan syiar Islam hingga sanggup mengundang artis rock dan barat mengadakan konsert di negeri itu.
Ketua pemuda Umno Kelantan, Dali Husin berkata, PAS sudah terdesak sehingga terpaksa membuat keputusan terbaru itu semata-mata kerana mahu meraih sokongan daripada golongan muda di Kelantan.
"Saya tak hairan dengan tindakan terbaru PAS kerana mereka tidak pernah konsisten dalam menegakkan syiar Islam," kata Dali bagi mengulas pengumuman kerajaan negeri itu mahu membawa artis rock dan barat mengadakan konsert khas di Kota Bharu tahun depan.
Ini termasuk rancangan mengundang Yusuf Islam atau Cat Stevens yang pernah menduduki tangga teratas carta lagu pop British tidak lama dahulu, untuk membuat persembahan di negeri itu.
Menurut laporan Bernama, Yusuf yang memeluk Islam pada 1977, merupakan seorang penyanyi dan penggubah lagu British yang amat terkenal yang mampu menjual lebih 60 juta album lagu-lagu nyanyiannya.
Dali berkata kerajaan negeri sebenarnya tidak perlu mengundang artis barat untuk menghiburkan rakyatnya kerana Kelantan sendiri merupakan sebuah "lubuk budaya" yang kaya dengan pelbagai seni warisan.
Tegasnya, adalah lebih baik jika kerajaan negeri berusaha memperkasakan seni budaya tempatan menerusi instrumen hiburan seperti dikir barat yang mampu menghibur dan dapat menyelitkan pelbagai mesej yang positif.
Sokongan rakyat
"Jika mereka membenarkan konsert artis Barat, mampukah mereka mengawal tingkah laku ribuan manusia, terutama golongan muda yang dahagakan hiburan agar menepati dasar Kerajaan negeri," katanya.
Baru-baru ini Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui bahawa sebagai gerakan Islam, kerajaan negeri terdesak mengadakan pelbagai bentuk program baru di negeri ini untuk menarik sokongan rakyat.
Langkah mengundang artis barat itu juag bertujuan menunjukkan kepada masyarakat bahawa masih ada dalam kalangan artis yang berpegang kepada ajaran Islam walaupun kebanyakan mereka terkenal dengan pelbagai kemungkaran termasuk skandal wanita, dadah dan arak.
"Ia juga untuk menunjukkan Islam tidak menutup langsung pintu hiburan asalkan ia tidak membawa kepada kelalaian dan lupa kepada tanggungjawab serta bebas daripada unsur-unsur negatif melalui pakaian, persembahan dan lirik lagu," kata Nik Aziz.
Menurt Mursyidul Am PAS itu lagi, selepas lebih 15 tahun memerintah negeri ini dan mengatasi pelbagai masalah, hanya kini kerajaan negeri dapat memberi tumpuan terhadap pendekatan baru yang lebih terbuka, terutama dalam isu hiburan bagi mendekati semua golongan terutama generasi muda.
"Saya sendiri bukan nak menarik golongan muda (supaya menyokong PAS), tetapi hendak tunjuk nyanyian atau hiburan itu bukan 100 peratus haram. Jika mereka nak sokong, Alhamdulillah," katanya.
Pada peringkat awal memegang tampuk pemerintahan Kelantan pada 1990, kerajaan PAS tidak membenarkan penganjuran hiburan seperti konsert kerana mengganggapnya sebagai melalaikan dan terdedah kepada maksiat. Perubahan pendirian mula berlaku tahun lepas apabila ia membenarkan persembahan konsert juara AF3 Mawi, dengan beberapa syarat tertentu.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Takiyuddin Hassan berkata kebenaran kepada artis rock mengadakan persembahan tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri menerusi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.
Antara syarat yang ditetapkan ialah tidak ada percampuran penonton lelaki dan perempuan, tidak ada percampuran artis lelaki dan wanita dan lagu yang bersesuaian, selain tidak mendedahkan aurat.
Ia disusuli dengan dua konsert khas yang diadakan sempena ulang tahun pertama Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) sebagai Bandaraya Islam.
Konsert pertama khusus untuk wanita pada 18 Nov lepas yang dinamakan Konsert Khas Wanita, berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) dan disertai artis Aishah, Salima, Edlin, Zila dan Karen.
Sehari selepas itu, diadakan pula Konsert Terbuka Hotlink yang dibarisi artis seperti Mawi, Zahid, Hazama, Haziq, In-Team dan Raihan, yang diadakan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV.
Sebelum ini, Mawi digunakan sebagai platform oleh kerajaan negeri yang mempunyai agenda yang lebih besar dalam mengawal bentuk hiburan di Kelantan walaupun menyedari Mawi merupakan produk program Akademi Fantasia, yang disifatkan sesetengah pihak bercanggah dengan syariat Islam

