Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramalan ribut petir di Utara Semenanjung pada Selasa, Rabu
Diterbitkan:  Dec 20, 2021 11:39 PM
Dikemaskini: Dec 21, 2021 12:01 AM

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meminta orang ramai yang berada di negeri-negeri utara Semenanjung berwaspada susulan jangkaan ribut petir akan berlaku di kawasan terbabit pada Selasa dan Rabu.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata, ramalan tersebut berikutan sistem tekanan rendah kini berada di kedudukan 4.8'U 93.7'T di Laut Andaman.

“Sistem tekanan rendah ini dijangka bergerak ke arah timur menghampiri utara Selat Melaka. Kemungkinan sistem ini meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah, sekali gus keadaan ini boleh menyebabkan ribut petir di negeri-negeri utara Semenanjung.

"Oleh itu, orang awam di kawasan terlibat dinasihatkan untuk lebih peka dan berwaspada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, MET Malaysia akan sentiasa memantau keadaan cuaca berkenaan dan akan mengeluarkan amaran hujan berterusan bila keadaan perlu.

Hujan lebat tanpa henti sejak pagi Jumaat lepas menyebabkan beberapa kawasan di lapan negeri dilanda banjir.

Fenomena berkenaan terjadi susulan faktor luruan monsun dan sistem cuaca tekanan rendah yang mencapai tahap lengkukan tropika terbentuk di Laut Cina Selatan yang dikesan pada 12 Dis lepas. 

Setakat 12 tengah hari tadi, seramai 41,418 mangsa telah dipindahkan ke 405 pusat pemindahan sementara (PPS), menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Lihat Komen
ADS