Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tolak usul bincang isu banjir: Mapim selar speaker tak peka hal rakyat
Diterbitkan:  Dec 22, 2021 6:15 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyifatkan keengganan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun dalam menerima usul tergempar bagi membincangkan isu banjir sebagai tidak peka hal rakyat.

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid yang kecewa berkata, ini di kala kerajaan amat lambat melancarkan operasi bantuan walaupun rakyat berada dalam kecemasan.

Menurutnya, tujuan usul itu dibuat kerana terdapat banyak soalan yang perlu diketengahkan pada saat-saat genting ini.

“Kenapa aset kerajaan dari pelbagai agensi lambat dihantar? Kenapa kerajaan gagal bertindak pantas selain hanya umum bantuan RM1,000 setiap keluarga mangsa dinyatakan oleh perdana menteri sedangkan rakyat nantikan ialah bantuan segera?

“Kenapa MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) tidak berlaku koordinasi sehingga ATM (Angkatan Tentera Malaysia) tidak dibenarkan bertindak kerana dikatakan tidak ada arahan? Kenapa fungsi Nadma terbatas sehingga tidak boleh bertindak pantas menyelamat keadaan nyawa rakyat yang terancam?

“Kenapa ada menteri yang hanya mengutamakan publisiti tetapi tidak turun padang untuk mengendali keadaan kecemasan rakyat?

“Kenapa amaran awal jabatan meteorologi tidak diambilkira oleh pihak kerajaan untuk mengambil langkah proaktif?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Azhar berkata usul terbabit ditolak kerana ia tidak terkandung dalam urusan aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Antara ahli parlimen yang berucap bagi mengemukakan usul tersebut ialah Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu.

Sejak Jumaat lalu, banjir besar melanda beberapa negeri dengan kesan buruk terbesar berlaku di Selangor dan Pahang. Setakat hari ini hampir 30 orang sudah kehilangan nyawa akibat bencana tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata dia terharu apabila pelbagai NGO, sesama rakyat dan ahli politik pembangkang yang bertindak bersendirian mengerah tenaga untuk membantu mangsa banjir.

“Kami memuji ada parti politik membatalkan konvensyen tahunan serta merta untuk mengerah seluruh jenteranya turun membantu rakyat.

“Namun ada parti politik yang tidak cakna kepada keadaan rakyat dan meneruskan acara politik mereka,” katanya. 

Lihat Komen
ADS