Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin tindakan parti itu memanggil tiga orang perwakilan kerana membuat ucapan keterlaluan semasa perhimpunan agung umno baru-baru ini, tidak akan menyebabkan ahli parti menjadi takut untuk bersuara.

"(Ahli) Umno bukan takut sangat. Bila nak bincang sesuatu dia (perwakilan) bincanglah. Orang lain pulak yang takut bila dengar Umno bercakap," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno petang tadi.

Menurut laporan Bernama, perbahasan perhimpunan agung Umno yang buat pertamakalinya disiarkan secara langsung oleh Astro, telah mendapat reaksi daripada masyarakat bukan Melayu termasuk pemimpin komponen Barisan Nasional.

Ditanya sama ada perhimpunan agung Umno selepas ini akan juga disiarkan secara langsung, Abdullah berkata perkara itu akan diputuskan sebelum perhimpunan bermula.

Sebelum ini, tiga perwakilan Umno termasuk seorang Exco Pemuda telah diberi nasihat yang "pedas dan keras" oleh pihak parti.

Abdullah berkata ketiga-tiga mereka telah dipanggil oleh Jawatankuasa Pengurusan Umno untuk memberi penjelasan terhadap ucapan mereka baru-baru ini.

Jangan keterlaluan

Antara perwakilan yang membuat ucapan sedemikian adalah Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Azimi Daim, wakil Melaka Hasnoor Sidang Hussein dan Hashim Suboh (Perlis).

"Satu nasihat yang pedas dan keras diberi kepada mereka. Mereka mesti berhati-hati apabila bercakap. Jangan keterlaluan sehingga kemungkinan menimbulkan kesalahan undang-undang yang ada.

"Jadi mereka telah beri pengakuan akan patuhi apa yang diarahkan oleh jawatankuasa pengurusan," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini hari ini.

Berikutan tindakan yang diambil itu, Abdullah berharap tidak akan timbul lagi sebarang persoalan mengenai perbahasan pada perhimpunan agung Umno.

"Ini hanya kes tiga orang yang bercakap. Dari 22 orang (pembahas), hanya tiga sahaja yang dipanggil dan diberi nasihat keras," katanya.

Dalam sidang akhbar yang sama, Abdullah mengesahkan turut mengesahkan kumpulan akhbar milik Umno Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) dan Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) sedang mengadakan rundingan untuk bergabung.

Gabungan Utusan-NSTP

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku perubahan dasar yang akan mempengaruhi akhbar Utusan Malaysia berikutan penggabungan itu, Abdullah berkata beliau mahu melihat identiti dan peranan akhbar itu dikekalkan.

"Saya punya pandangan ialah rakyat lebih suka melihat identiti surat khabar yang berkenaan dikekalkan kerana masing-masing ada identitinya, ada sejarahnya, dan ada imejnya masing-masing," katanya.

Abdullah bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai rundingan itu kerana tidak mahu menyatakan sesuatu yang mendahului rundingan.

"Nantilah bila kita dengar lebih terperinci sikit, lebih sedap kita bercakap. Tak eloklah bila kita mendahului," katanya.

Urusniaga saham kedua-dua syarikat itu telah digantung hari ini dan satu pengumuman akan dibuat berhubung cadangan penggabungan itu pada Isnin, 4 Disember.

Ramalan Anwar

Ditanya mengenai ramalan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pilihanraya umum akan berlangsung pada 2008, Abdullah berkata hanya kerajaan yang boleh memutuskan tarikh sebenar.

"Beliau (Anwar) boleh cakap apa yang beliau suka tetapi kita akan tentukan masanya," kata Abdullah.

Anwar dihukum penjara pada 1999 setelah disabitkan kesalahan rasuah. Beliau dibebaskan tiga tahun lalu dan hanya boleh bertanding dalam pilihanraya selepas tempoh lima tahun dibebaskan.

Abdullah berkata, Barisan Nasional (BN) sedia berdepan dengan sesiapa saja termasuk bekas timbalan perdana menteri itu dalam pilihanraya umum, yang menurutnya tiada bezanya dengan calon-calon pembangkang lain yang bertanding menentang BN.

"Kita akan berdepan dengan sesiapa saja sebagaimana kita telah hadapi sesiapa saja yang menentang kita sebelum ini," katanya, mengulas kenyataan Anwar dalam temubual dengan Bloomberg, yang antara lain menyebut beliau (Anwar) akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

Sedia jumpa Mukhriz

Mengenai isu yang membabitkan Datuk Mukhriz Mahathir, Abdullah berkata, beliau bersedia menemui Exco Pemuda itu untuk mendengar penjelasannya.

"Saya telah serah kepada Pemuda mengenai apa yang mereka hendak laksanakan. Di mana mereka perlu dapat kerjasama saya, saya tidak ada masalah untuk memberi kerjasama," katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya menerima permohonan maaf Mukhriz selepas berpuas hati dengan penjelasan Mukhriz berhubung ulasannya terhadap ucapan dasar Abdullah di perhimpunan agung Umno lalu, serta bercadang mengatur pertemuan antara Mukhriz dengan Perdana Menteri.

Katanya, keputusan sebulat suara anggota Exco pergerakan itu dibuat atas semangat "bersama" dan berharap ia akan menjadi satu pengajaran.