Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib tak balas SMS beritahu AS$700 juta dilencong ke syarikat lain - Saksi
Diterbitkan:  Dec 22, 2021 10:41 PM
Dikemaskini: 2:41 PM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak membalas satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memberitahu beliau mengenai AS$700 juta yang pada asalnya untuk satu usaha sama antara 1 Malaysia Development Bhd dan Petrosaudi International (PSI), telah dilencongkan ke satu syarikat lain.

Bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh, 67, berkata beliau telah menghantar kepada Najib satu SMS menerusi telefon pintar BlackBerry selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 Sept 2009 untuk memaklumkan lencongan dana AS$700 juta ke Good Star Ltd, syarikat yang didakwa firma gabungan PSI tetapi tidak mendapat balasan daripada bekas perdana menteri itu.

“Ini bukannya satu respons normal atau reaksi daripada Datuk Seri Najib. Pada masa lalu, apapun yang saya hantar kepada beliau, akan dibalas,” kata Mohd Bakke dalam pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy atas dakwaan meminda laporan audit akhir 1MDB.

Good Star Ltd kemudian didapati merupakan sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Mohd Bakke berkata lembaga pengarah naik berang apabila isu lencongan dana itu dibangkitkan semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 Sept 2009 kerana ia tidak mengikut arahan diberikan oleh lembaga pengarah.

“Pada masa itu, kami tidak tahu ia adalah Good Star. Ini bukan arahan diberikan kepada pengurusan 1MDB dan kami (lembaga pengarah) mempertikaikan bagaimana lencongan itu berlaku.

Shahrol (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi) berkata pengurusan telah dinasihatkan oleh peguam luar untuk melakukan ini (lencongan) untuk tujuan komersial,” katanya.

Saksi ke-13 pendakwaan itu berkata berikutan langkah diambil pengurusan 1MDB itu, beliau mengambil keputusan berundur daripada syarikat pelaburan strategik itu dan meletak jawatan pada 19 Okt 2009.

“Apabila saya mendapati pengurusan tidak mematuhi arahan lembaga pengarah, saya mengesyaki sesuatu kerana pengurusan 1MDB melakukan sesuatu yang tidak selari dengan tadbir urus yang baik.

Terus saya melihat pengurusan dengan kesangsian. Saya tidak gembira, saya marah. Saya beritahu rakan lembaga pengarah bahawa kami semua patut meletak jawatan. Kami (lembaga pengarah) malah memberitahu pengurusan supaya mendapatkan balik AS$700 juta itu dan mengambilnya menerusi proses yang sepatutnya,” kata beliau.

Ditanya Sri Ram, Mohd Bakke mengesahkan beliau ditemu bual oleh Ketua Audit Negara pada Jun 2015 dan beliau menjelaskan kronologi sejak beliau dilantik selaku seorang pengarah dalam Terengganu Investment Authority (TIA yang kemudiannya menjadi 1MDB) dan pelantikan semula beliau sebagai ahli lembaga pengarah 1MDB.

“Saya juga memberikan Jabatan Audit Negara salinan set minit mesyuarat saya untuk dua mesyuarat 1MDB yang saya hadir pada 26 Sept dan 3 Okt 2009,” kata beliau.

Mohd Bakke juga mengesahkan minit mesyuarat yang diserahkan kepada Jabatan Audit menunjukkan Jho Low hadir semasa mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada 26 Sept.

Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 7 Mac tahun depan.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak Ahli Parlimen Pekan itu dikenakan tindakan.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS